Jumaat, 3 Oktober 2014

Suami Derhaka?

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle



Semasa mengemas rumah sambil tengok TV3 siaran Malaysia Hari Ini tengah berbincang tentang "Suami Derhaka". Selama ini yang saya tahu cuma ada isteri derhaka pada suami dan anak derhaka kepada ibu atau bapa. Tajuk perbincangan pada pagi itu telah menarik perhatian saya yang ingin mengetahui apa isi kandungan yang dibincangkan.

Suami derhaka yang dibincangkan di sini bermaksud suami tidak melaksanakan tanggungjawab hakiki seorang suami yang dituntut oleh agama. Nampak macam mudah tetapi berat tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Pada lelaki yang hendak kahwin dan telah berkahwin fikirkan tanggungjawab hidup berumahtangga yang perlu ditanggung untuk mendapat suasana yang harmoni dan bahagia dalam keluarga. 

Mungkin disebabkan perkara ini juga menyebabkan penceraian yang semakin bertambah di Malaysia. Astaqfirullahhalazim, takut bila mendengarnya mungkin inilah yang dikatakan hidup di akhir zaman. Suami derhaka bukan kepada isteri tetapi kepada ALLAH S.W.T yang lagi besar daripada derhaka isteri pada suami. Perkara ini hangat dibincangkan oleh para ulama dan ustaz-ustaz. Ini antara sebab-sebab suami derhaka yang boleh saya kongsi daripada blog kawan kita :

1. Tidak mengajar agama dan hukum syariat kepada isteri.
Perkara ini perlu dititikberatkan oleh suami untuk mengajar atau melalui perantara supaya agama betul-betul difahami oleh seorang isteri. Perkara ini salalu diabaikan yang menjadi perhatian suami, seorang isteri yang pandai memasak dan menghidangkan makanan serta cara berdandan yang cantik. Banyak yang kita dapati isteri tidak tahu cara untuk solat yang betul, hukum haid dan nifas, tanggungjawab seorang isteri mengikut agama dan tidak mendidik anak-anak secara islam. Kadangkala isteri yang lebih mengetahui bab agama berbanding suami yang menjadi cabaran kepada isteri untuk mendidik suami yang kurang mengetahui bab agama. Kesedaran suami untuk terus menuntut ilmu agama dan mengajak isteri menghadiri ke majlis-majlis ilmu, menghadiahkan buku-buku islamik, kaset/cd ceramah dan yang paling penting suami ajaklah isteri untuk solat berjemaah sama ada di rumah atau di masjid/surau.

2. Suka mencari kekurangan dan kesalahan isteri.
Masa tengah bahagia dan gembira perkara ini tidak akan menjadi masalah kepada semua pasangan. Ia akan menjadi masalah apabila rumahtangga sedang diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Fikirkan sejenak, kenapa tuhan jadikan kita berpasangan? Perkahwinan adalah cara untuk melengkapi kehidupan pasangan yang saling berkasih sayang. Di dalam hadis juga ada menceritakan bahawa suami perlu bersabar dan menahan diri dari kekurangan yang ada pada isteri dan juga ketika isteri tidak melaksanakan kewajipannya.

3. Memberi hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan isteri.
    a) Menggunakan pukulan di tahap awal pemberitahuan hukuman
 

    b) Mengusir isteri dari rumah tanpa ada kebenaran secara syar'ie 
        (Rujuk Surah Al- Thalaq : 1)
    c) Memukul wajah, mencela dan menghina

4. Mengabaikan Nafkah kepada isteri.
Kebanyakan sekarang isteri bekerja bagi membantu suami untuk menyara keluarga dan anak-anak. Namun begitu suami berhak memberi nafkah kerana isteri kerana isteri telah melayan suami, mentaati suami, tinggal di rumah suami, mengasuh dan mendidik anak-anak. Sekiranya suami tidak memberi nafkah, isteri boelh mengambil tanpa pengetahuannya untuk membeli keperluan harian rumah.

5. Sikap kasar dan keras terhadap isteri.
Walaupun suami mempunyai hak ke atas isteri, tetapi suami tidak boleh sewenang-wenangnya mengasari dan bertindak keras terhadap isteri. Isteri perlu dibelai dan dimanja mengikut lunas dan syariat islam. 

6. Ego suami untuk membantu isteri dalam urusan rumahtangga.
Diskriminasi di Malaysia masih kuat dan masih mengikut stereotaip bahawa perempuan yang patut menguruskan rumahtangga dan lelaki mencari nafkah. Menurut islam ini merupakan satu kesalahan yang menjangkiti para suami. Jika kita lihat Rasullullah S.A.W tidak segan silu untuk membantu isterinya dalam urusan rumahtangga. Isteri zaman kini sudah menjadi "superwomen" , membantu suami mencari nafkah, menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Jadi tidak salah untuk suami juga membantu isteri di rumah.

7. Menyebarkan rahsia dan aib isterinya.
Hidup berumahtangga perlu saling menjaga rahsia dan aib pasangan. Perkara ini hanya diketahui oleh pasangan sahaja tidak perlu bercerita dengan orang disekeliling. Kebiasaan masyarakat sekarang sering berkongsi masalah. Ini akan menimbulkan masalah kemudian hari. Mengikut hadis perkara ini haram untuk berkongsi cerita terutamanya perkara yang berlaku di tempat tidur.

8. Sikap terburu-buru dalam menceraikan isteri.
Perselisihan faham sering berlaku dalam mengharungi bahtera kadangkala mengarah kepada penceraian. Penceraian merupakan perkara yang dibenci oleh tuhan. Jadi usaha dahulu dalam pelbagai cara untuk menyelesaikannya, kerana kemungkinan akan berlaku penyesalan dikemudian hari. Penceraian juga akan memberi kesan kepada anak-anak dalam proses pembesaran. Fikir panjang dalam membuat satu keputusan yang penting dalam kehidupan.

9. Berpoligami.
Memang benar berpoligami merupakan syariat Islam. Suami perlu melaksanakannya dengan baik, memenuhi syarat-syaratnya dan boleh memikul tanggungjawabnya. Kebiasaan berpoligami boleh menjuruskan kerosakan sesebuah rumahtangga, menghancurkan anak-anak, menambah permasalahan keluarga dan juga kepada masyarakat. Sekiranya hendak berpoligami suami perlu adil kepada isteri dan anak-anaknya.

10. Kurang rasa cemburu.
Kebiasaan suami akan bangga kerana dapat memiliki isteri yang cantik yang boleh dinikmati oleh pandangan kebanyakan orang. Suami membiarkan keelokan, keindahan dan kecantikan isteri dinikmati dan dipertontonkan oleh orang ramai. Suami membiarkan  isteri menampakkan aurat ketika keluar dari rumah dan membiarkan isteri berkumpul dengan lelaki-lelaki lain. Ini kerana fitrah suami yang memiliki sifat cemburu sekiranya isteri bergaul berlebihan dengan lelaki lain.

Diharap dengan perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. Terutama kaum wanita yang perlu mengambil tahu perkara-perkara sebegini untuk menambah ilmu pengetahuan. Namun begitu kaum wanita juga harus menunaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang isteri mengikut agama supaya mendapat keluarga yang harmoni dan bahagia hingga ke jannah. InsyaAllah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan