Sabtu, 27 September 2014

Bercakap Dengan Yakin!

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle


Bercakap di khalayak ramai memerlukan keyakinan yang tinggi. Perkara yang tidak dapat dilupakan pada tahun 2010 bersama wirawati yang baru mula mencuba untuk bercakap di hadapan orang ramai. Bukan ramai pun orang di dalam kelas, anggaran dalam 80 orang yang setaraf dengannya. Bila di beri peluang untuk bercakap di hadapan, dia mengambil risiko untuk mencuba. Bila berada di hadapan dia menggigil dan menyorok di belakang "flipchart" seperti nampak hantu. Kami jurulatih di belakang menjadi risau kerana pada masa itu musim pelatih kena hesteria. Bila ditanya rupanya dia takut untuk bercakap dikhalayak ramai.

Dari pengalaman, hasil pembacaan serta perkongsian kawan-kawan yang boleh dikongsi bersama untuk bercakap dengan lebih yakin bila berada di khalayak ramai:

1. Persediaan awal.
Persediaan diri lebih awal terhadap tajuk yang hendak disampaikan. Perlu menguasai dan memahami tajuk yang hendak disampaikan supaya mudah untuk berkomunikasi dengan pendengar. Antara persediaan yang boleh dibuat dengan bercakap di hadapan cermin atau bercakap seorang dengan membayangkan kita bercakap dengan orang ramai.


2. Datang awal.
Bila hendak memberi syarahan atau ceramah perlu membuat persediaan diri dan peralatan yang akan membantu untuk penyampaian yang baik. Ini serba sedikit dapat menghilangkan rasa gementar.

3. Bernafas
Semasa penyampaian kita perlu bernafas seperti biasa. Bila gementar secara tidak langsung kita akan bercakap laju supaya cepat habis. Ini menyebabkan penyampaian kurang menarik kerana bercakap seperti tidak sempat untuk bernafas. Kawal pernafasan semasa membuat penyampaian dengan beranggapan seperti kita bercakap seperti biasa.

4. Pelbagai nada dan intonasi.
Penyampaian yang baik boleh menguasai pendengar dengan menggunakan nada dan intonasi yang pelbagai mengikut kesesuaian. Kelantangan suara juga diperlukan supaya pendengar dapat mendengar dengan jelas. Ini kerana bila kita gementar kadangkala suara kita menjadi perlahan dan tidak didengari oleh keseluruhan pendengar. Penyampaian yang baik tidak menggunakan petikan teks. Jika baru dalam bidang penyampaian perlu buat persediaan dengan nota kecil bagi isi penting yang hendak disampaikan, bercakap dengan penuh keyakinan.

5. Penampilan yang sesuai.
Penampilan seseorang amat penting untuk menyampaikan dengan penuh keyakinan. Ini dapat membantu untuk seseorang berdiri dengan penuh keyakinan dan sentiasa berada dalam posisi terbuka. Disamping bersuara juga dengan yakin untuk mendapatkan penyampaian yang baik. Bermula dengan senyuman juga dapat meyakinkan seseorang. Boleh diamalkan.


6. Pandangan mata dan bahasa badan.
Pandangan mata amat penting untuk merasakan kehadiran kita bersama pendengar. Kita yang menyampaikan pun memerlukan perhatian daripada pendengar supaya kita tidak merasai bahawa syok seorang. Bila kita bercakap tanpa menggunakan teks secara tidak langsung bahasa badan juga dapat berinteraksi dengan pendengar. Namun begitu kita kena kawal bahasa badan ini dan bergerak dengan bertujuan. Kadangkala kita tidak sedar kita akan masukkan tangan ke dalam kocek, bermain dengan pen di tangan, menggaru kepala yang tidak gatal, bergoyang ke kiri dan kanan apabila kita rasa gementar. Semuanya kita boleh kawal sekiranya kita sampaikan dengan penuh keyakinan.

7. Komunikasi dua hala.
Semasa penyampaian wujudkan komunikasi dua hala untuk melihat reaksi pendengar sama ada dia faham atau sebaliknya. Kebiasaannya kita akan menggunakan soalan yang mengharapkan jawapan supaya secara keseluruhan bukan kita bercakap seorang namun dapat dikembangkan lagi penyampaian dengan memberi peluang kepada pendengar untu bercakap. Kita juga boleh memberi soalan yang tidak mengharapkan jawapan, kita tanya dan kita akan menjawab. Ini kerana kita mahukan pendengar memberi tumpuan dan berasa seronok dan mula memberi tumpuan kepada kita.

8. Sebutan perkataan yang menampakkan kita kurang yakin.
Setiap orang bercakap di hadapan akan rasa gementar walaupun sudah mempunyai pengalaman. Tanpa disedari kita akan menggunakan sebutan yang hanya sekadar melengkapkan perkataan seperti 'aaa', 'err', 'mmm', 'ehh', 'ok' dan 'kan'. Kawal perkataan ini untu menampakkan kita lebih yakin.

Setelah diberi peluang dan memberi tips yang boleh diikuti oleh pelatih tersebut, alhamdulillah dia dapat bercakap dihadapan dengan penuh keyakinan. Ketakutan diawalnya sudah hilang. Dia bersyukur dapat memasuki khidmat negara kerana dia telah belajar sesuatu dan dapat meningkatkan keyakinan dirinya. Mari sama-sama kita amalkan supaya kita dapat berinteraksi dengan orang ramai dengan penuh keyakinan.



Jumaat, 19 September 2014

Tips Mendidik Anak Lambat Bercakap

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle

Setiap ibu bapa mendambakan seorang anak. Setelah mendapat anak pasti ibu bapa mahukan anak yang ceria dan sihat tubuh badan. Ibu bapa mana yang tidak risau apabila dapat kesan bahawa anak mereka lambat bercakap. Begitu juga dengan saya, risau anak kedua sudah 4 tahun tapi masih belum boleh bercakap seperti kanak-kanak lain. Berbeza dengan kakaknya yang 9 bulan sudah pandai bercakap dan berjalan. Macam-macam usaha yang dilakukan untuk memastikan anak ini bercakap.

Pastinya ramai ibu bapa diluar sana pun sama nasib seperti saya. Kesabaran kunci utama untuk mendidik anak-anak yang lambat bercakap ini. Kebiasaan masalah ini dapat dikesan pada anak-anak lelaki. Setiap kali rujuk ke klinik pastinya memberi jawapan yang sama bahawa anak lelaki terlalu aktif yang menyebabkan anak ini tidak bercakap lagi.

Antara tips yang dilakukan untuk memastikan anak cepat bercakap adalah seperti berikut:


1. Mengajar anak dengan memperkenalkan huruf abc kepadanya, Sekiranya anak tidak boleh terima kita ajar anak membaca iqra' sekerap yang mungkin. Kanak-kanak boleh terima 10 minit pertama sahaja yang betul-betul fokus kepada pengajaran kita. 

2. Guna bahasa mudah apabila bercakap dengan anak anda supaya dia dapat mengikuti apa sahaja perkataan yang kita utarakan. Mengguna ayat yang pendek dan bermakna. Pastikan ibu bapa bercakap dengan anak bukan memberi arahan. Sekiranya dia lebih cepat untuk menggunakan perkataan Bahasa Inggeris tidak salah untuk ibu bapa mengajar anak sebut dalam Bahasa Inggeris. Disamping menggunakan bahasa badan (diajar oleh anak sendiri) untuk pemahaman anak dan ibu bapa sendiri.

3. Ulang perkataan/ayat anak dengan menambah beberapa patah perkataan supaya anak dapat dapat perkataan/ayat baru setiap hari. Contoh: "Danial hendak makan?" ooo...danial nak makan nasi ye..makan nasi". Pastikan perkataan yang kita sebut dapat disebut bersama anak.

4. Pembelajaran melalui visual sebab otak manusia sukakan gambar. Rajin bercerita dengan anak dengan menggunakan buku bergambar, kad imbasan atau video yang dapat meningkatkan peratusan deria rangsangan anak-anak. Mereka akan terangsang dan berkeinginan untuk bercakap seperti yang dilihat.

5. Memberi tindak balas segera apabila anak-anak bercakap untuk memberi dorongan kepadanya. Jangan paksa anak sekiranya anak tidak mampu untuk bercakap atau bertindakbalas pada soalan yang diberikan. Mereka memerlukan masa untuk belajar pada ketika itu.

6. Belajar sambil menyanyi dan bermain bersama mereka. Anak-anak sukakan muzik, kita buat apa yang anak kita minat untuk menarik minat mereka. Mengikut pemerhatian anak-anak yang lambat bercakap ini mengambil masa dalam 2 hingga 3 minggu untuk bercakap dan menyanyi bersama. Walaupun tidak faham apa yang dinyanyikan terus galakkan anak-anak untuk berinteraksi. 

7. Menghantar anak ke sekolah Tadika/Taska awal. Ini kerana anak dapat bergaul dengan rakan-rakan sebaya dan terus memberi rangsangan kepadanya untuk terus bercakap. Alhamdulillah setelah 4 bulan ke sekolah sudah ada perubahan, rakan-rakannya turut memberi sokongan dengan pengajaran yang diberikan oleh cikgu.

Ibu bapa teruskan usaha dan sentiasa bersabar dengan karenah anak yang lambat bercakap ini. Antara amalan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah 

  • Amalkan membaca doa ini terutama setiap kali selepas solat 5 waktu. Niat supaya anak kita cepat bercakap seperti kanak-kanak lain dan tiup ke mulut anak yang lambat bercakap. 
  • Setelah anak boleh bercakap amalkan doa ini tanda kesyukuran kita setelah anak ini sudah boleh berbicara.

  • Jumpa doktor pakar untuk rujukan susulan anak-anak supaya ibu bapa dapat garis panduan untuk mendidik anak-anak yang lambat bercakap ini.
  • Ibu bapa juga boleh mengambil air nasi yang tengah di masak. Ambil 1/2 cawan air tersebut, setelah suam bolehlah diberikan kepada anak untuk diminum.
  • Ibu bapa juga boleh amalkan setiap kali kutbah jumaat habis dibaca oleh khatib, niat untuk anak cepat bercakap dengan letakkan ibu jari ibu ke lelangit dan letak ibu jari tersebut di lidah anak.
Insyaallah kita berusaha demi anak-anak maka hasilnya kita akan perolehi, Kepada ibu bapa yang senasib dengan saya boleh sama-sama kita amalkan. Setakat ini setelah anak 4 tahun lebih saya sudah dapat memahami apa yang hendak dicakap dan disampaikan. Walaupun kadangkala ada juga yang kurang difahami tetapi saya berusaha juga untuk memahaminya. Marilah sama-sama kita amalkan.

Jumaat, 12 September 2014

Kejayaan Bermula Dengan Keyakinan Diri


Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle

Kekurangan keyakinan menyebabkan seseorang tidak dapat mencapai matlamat hidupnya. Begitu juga dengan saya yang mempunyai matlamat untuk menjadi seorang guru di mana sahaja pusat pendidikan. Mengetahui kekurangan diri saya mencari keyakinan diri yang hilang dengan mengikuti kursus yang telah dianjurkan oleh pihak KMB. Alhamdulillah akhirnya apa yang dicari telah dijumpai walaupun tidak sepenuhnya.

Semasa sekolah dahulu lagu "Fikirkan Boleh" menjadi pembakar semangat untuk meningkatkan motivasi diri. Walaupun sudah bertahun lamanya lagu ini tetap digunakan untuk meningkatkan jati diri terutama para remaja. Lagu yang ringkas tetapi mempunyai maksud yang mendalam. Mari sama-sama kita menghayatinya. Yakin pada diri bahawa kita juga boleh berjaya seperti orang lain.



Semua orang mempunyai matlamat, untuk menjadikan matlamat itu menjadi kenyataan kita perlu yakin bahawa kita boleh lakukan. Keyakinan diri yang tinggi menyebabkan orang sekeliling berasa yakin dengan diri kita.
Tips meningkatkan keyakinan diri yang boleh dikongsi daripada bersama daripada bacaan blog kawan-kawan dan telah dipraktikkan sendiri oleh saya semenjak menjadi seorang jurulatih. Alhamdulillah keyakinan diri semakin terpamir walaupun mengambil masa yang lama.

1.Penampilan menarik kerana ia boleh mempengaruhi emosi seseorang dan boleh mengubah cara pewatakan diri serta berinteraksi dengan orang lain. Sekadar hanya dengan kemas, selesa, bersih dan menarik perhatian orang lain tidak perlu pakaian yang mahal-mahal.

2. Berjalan dengan cepat kerana mengejar masa. Walaupun tidak mengejar masa cuba jadikan sebahagian cara dalam kehidupan kerana memberi rasa keyakinan lebih baik. Disamping boleh menjadikan satu senaman dan kita dapat menggunakan tenaga dan menjimatkan masa untuk melaksanakan tugas harian.

3. Postur badan yang betul. Kedudukan badan yang betul semasa berdiri, duduk atau berjalan membuatkan anda berasa lebih yakin dan selesa dengan diri sendiri. Postur badan menentukan keyakinan seseorang samaada dia boleh melakukan atau sebaliknya.

4. Cari kelebihan diri sendiri. Setiap manusia mempunyai kelebihan masing-masing. Cuba senaraikan seberapa banyak kelebihan di dalam diri bagi membolehkan motivasi diri sekiranya berasa kurang keyakinan dengan diri sendiri. Baca semula senarai tersebut bagi meningkatkan semula keyakinan diri. Menurut Perunding Psikologi Klinikal, Paul Jambunathan, manusia lebih banyak menyenaraikan emosi negatif berbanding emosi positif.

5. Bersyukur kepada tuhan ke atas apa yang kita miliki dan masih diberi peluang untuk terus hidup dan menikmati keindahan alam. Luangkan sedikit masa untuk menunjukkan tanda syukur dan sentiasa mengingati tuhan yang maha esa dengan berzikir  yang dijadikan amalan harian.

6. Sentiasa memberi pujian. Tidak kedekut memberi pujian kepada orang lain dengan seikhlas hati. Elakkan daripada mengumpat kerana lebih banyak perasaan negatif  dan memberi kesan yang negatif juga dalam diri dan persekitaran.

7. Duduk di hadapan. Kebiasaan kita jarang untuk berebut duduk di barisan hadapan, yang direbut berada di barisan belakang. Menurut kata ustaz masa belajar dahulu, orang yang berada di depan lebih mudah untuk menerima ilmu berbanding yang berada di belakang. Duduk di hadapan membolehkan kita mudah melihat, mendengar dan mendapat maklumat dengan lebih jelas. Malahan mempunyai peluang untuk bertanya dan mudah dikesan oleh individu penting yang memberi taklimat.

8. Ambil peluang bercakap. Ambil peluang untuk memberi pandangan walaupun sekali sekala. Ini meningkatkan keyakinan diri untuk bercakap dikhalayak ramai. Menjadi pendengar yang baik juga penting sebelum memberi pandangan atau pendapat untuk disuarakan.

9. Bersenam. Tahap kesihatan dan kecergasan memberi banyak kesan keyakinan seseorang kerana individu yang mempunyai berat badan yang seimbang biasanya lebih yakin dengan diri sendiri.

10. Murah senyuman. Senyuman memberi kesan positif secara langsung pada diri sendiri dan juga persekitaran. Disebabkan senyuman semua orang yang ada disekeliling kita juga turut tersenyum yang membuatkan kita rasa tenang dan gembira. Malahan dengan senyuman akan melindungi kedukaan dan keresahan hati dan ia membuatkan kita tampak lebih berkeyakinan.

Mari kita praktikkan dalam kehidupan kita agar rakyat Malaysia lebih berkeyakinan untuk membuat keputusan dalam kehidupan mereka. Diharap ilmu ini dapat dipanjangkan lagi kepada semua orang dan memberi manfaat kepada semua orang yang sentiasa inginkan perubahan diri.


KEYAKINAN DIRI

"CARA YANG BIASA DILAKUKAN UNTUK MENDAPATKAN KEYAKINAN DIRI, DAN TELAH DIPRAKTIKKAN UNTUK DIRIKU SENDIRI"

Khamis, 11 September 2014

Menziarahi Orang Sakit

Teks: norazitaadnan
Foto : Carian geogle

Semalam membawa keluarga menziarahi abang ipar yang sakit di hospital. Semasa menziarahi kebetulan ada jiran yang juga turut berada di hospital yang sama. Walaupun tidak berapa kenal kami turut menziarahi kerana kebetulan berada di situ. Betul kata orang-orang tua bahawa melawat orang sakit dapat menginsafkan diri.  Syukur ke hadrat ilahi kerana masih memberi kesihatan yang baik ke atas diri dan juga keluarga.

Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat mu’akkad iaitu sunat yang sangat dituntut oleh agama. Kita disunatkan menziarahi orang sakit tidak hanya terbatas kepada sahabat atau jiran tetangga, saudara Islam yang tidak dikenali mahupun musuh atau orang yang pernah menyakiti kita. Itu sebab ustaz kata maafkan orang sebelum tidur jadi tiada dendam sesama kita.

Kalau orang kafir yang sakit pun kita harus meziarahi, tetapi disunatkan menziarahinya jika dia dari kalangan ahli terdekat atau jiran atau kerana berharap supaya dia memeluk Islam. Dalam menziarahi orang sakit, adakalanya kita lupa akan adab-adab yang perlu diikut sehingga niat yang baik hanya akan membebankan orang sakit dan bukan seperti yang diharapkan. 

Antara adab-adab yang perlu dijaga:
  1. Menziarah dengan ikhlas dan niat yang baik kerana Allah S.W.T
  2. Memilih masa yang sesuai untuk menziarah. Tidak terlalu kerap kerana dikhuatiri mengganggu dan mendatangkan kesulitan pada orang yang sakit. Sekiranya mendatangkan kesulitan dan kesusahan pada pesakit hukumnya makruh untuk menziarahi. Namun digalakkan sekiranya mempunyai perhubungan yang rapat dengan pesakit. Ulama mengatakan menziarahi pesakit pada hari Jumaat lebih afdal daripada hari-hari lain.
  3. Semasa melawat sebaiknya berada di bahagian kepala supaya pesakit mudah dan selesa untuk berinteraksi.
  4. Bertanya keadaan orang sakit dengan meletakkan tangan di dahi atau tangan pesakit. Disunatkan juga bertanya khabar kepada ahli keluarga sekiranya pesakit tenat dan tidak boleh bercakap. Bercakap perkara penting sahaja dan tidak terlalu banyak soalan kepada ahli keluarga sehingga menjengkelkan orang lain.
  5. Sentiasa mengucapkan kata-kata positif supaya menyenang, mengembira dan mententeramkan hati pesakit. Disunatkan juga menasihati agar banyak bersabar dan tabah menghadapi ujian dan dugaan yang dialami. Ini kerana dengan sakit Allah S.W.T dapat menghapuskan dosa serta memberi ganjaran pahala yang besar kepada pesakit. 
  6. Orang yang menziarah juga disunatkan mendoakan orang yang sakit supaya cepat sembuh. Selain itu pesakit juga digalakkan untuk mendoakan diri sendiri untuk cepat sembuh.

  7. Orang yang menziarah juga digalakkan untuk meminta orang yang sakit untuk mendoakan kesejahteraan dan kebaikan kita kerana doa mereka mustajab.
  8. Berpesan kepada keluarga pesakit supaya sentiasa berbuat baik dan sabar dengan       karenah pesakit.
  9. Menjaga aurat dan batas pergaulan semasa menziarahi pesakit yang bukan mahram supaya tidak mendatangkan fitnah.
  10. Jangan bercerita tentang keburukan atau aib pesakit kepada orang lain
  11. Bagi pesakit yang nazak atau tiada harapan untuk sembuh digalakkan orang yang menziarahi untuk membaca talqin atau mengajar pesakit untuk mengucap dua kalimah syahadah.
Dengan perkongsian ini diharap sama-sama kita saling mendoakan agar mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Perkara yang dikongsi ini kebiasaan kita terutamanya umat islam akan melakukannya semasa menziarahi pesakit. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama.





Selasa, 9 September 2014

Sahabat Baik Sukar Dicari

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle

Dalam kehidupan kita memerlukan seorang sahabat walaupun sudah berumah tangga atau masih bujang. Sahabat tidak semestinya sama agama atau pun bangsa. Kadang-kadang sahabat pun ada dikalangan yang berbeza budaya dan bangsa. Ini kerana setiap manusia mempunyai perasaan yang sama. Jadi, bila kita mempunyai sahabat perlu pandai jaga hati dan perasaan sahabat kita dan kalau berjauhan perlu bertanya khabar.

Sahabat juga sebenarnya banyak menyokong dalam mencapai matlamat sahabatnya. Jadi para remaja perlu pandai mencari sahabat yang banyak mendorong ke arah perkara positif. Saya berminat dengan tips yang ditulis dalam Majalah Remaja pada Bulan Mac 2014. Semoga perkongsian ini dapat dipanjangkan lagi kepada anak remaja Malaysia.

Antara Tips untuk memilih Sahabat:
  1. Sahabat yang baik akan sentiasa melindungi sahabatnya yang berada dalam kesusahan. Walaupun dari segi kewangan sahabat akan membantu untuk menyelesaikan. Kadang-kadang dia akan meminjamkan wang meringankan beban tanpa mengira masa.
  2. Pilihlah seorang sahabat yang sentiasa menghulurkan bantuan. Tidak kira sahabat tengah senang mahupun dalam kesusahan. Dengan hanya mendangar sahaja pun sudah dapat meringankan beban sahabat sekiranya dia mempunyai masalah. Walaupun sahabat sebenarnya tidak dapat menyelasaikan masalah tersebut.
  3. Seorang sahabat dia tidak akan menceritakan tentang keburukan sahabatnya dalam apa sahaja keadaan.
  4. Sahabat juga akan sentiasa memberi walaupun tidak meminta. Memberi di sini tidak semestinya memberi barang atau wang ringgit, meringankan beban dan menggembirakan sahabat juga dikira memberi. Dengan ini sahabat dapat mengukir senyuman walaupun dalam kesusahan dan keperitan.
  5. Sahabat baik sentiasa mempercayai antara satu sama lain dan dia memberi sokongan kata-kata atau apa sahaja perkara yang dilakukan itu benar dan sentiasa menegur dengan cara yang baik bagi perkara yang negatif yang patut dijauhi.

Kebiasaaan untuk mendapat sahabat yang baik kita memerlukan masa yang panjang untuk serasi dengan sahabat kita. Oleh itu perlu menjaga perhubungan, jangan kita tikam belakang sahabat yang sudah banyak membantu kita. Kita juga tidak perlu menjaja fitnah yang tidak pasti perkara yang dijaja tersebut betul atau sebaliknya.

Kepercayaan yang tinggi kepada sahabat juga perlu dijaga. Ini kerana dalam lumrah kehidupan kita sukar untuk mempercayai orang yang telah memusnahkan kepercayaan kita terhadapnya. Sahabat juga akan menutup keaiban dan keburukan sahabatnya yang diketahui bersama menjadi rahsia mereka.

Sahabat yang baik juga tidak suka sahabatnya seperti talam dua muka. Dihadapan sahabat baik tetapi dibelakang sentiasa cemburu, hasad dengki dan pentingkan diri sendiri. Sahabat juga tidak akan berkira apa sahaja dengan sahabatnya. Sahabat juga perlu menjaga batas pergaulan dan sentiasa menjaga hati dan perasaan. Carilah Sahabat yang baik untuk menjadi penyokong yang hebat untuk anda.