Memaparkan catatan dengan label Catatan Pengalaman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan Pengalaman. Papar semua catatan

Isnin, 1 Disember 2014

Persedian Awal Untuk Bekerja

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle



Salam ukhawah untuk semua,

Alhamdulillah Allah S.W.T masih memberi aku bernafas dan kesihatan yang baik pada hari ini. Setiap hari aku akan bertolak dari rumah pukul 6.30 pagi untuk sampai ke tempat kerja sebelum pukul 8.00 pagi. Perancangan hari ini hendak buat persiapan yang perlu dilakukan sebelum pelatih masuk pada 6 Disember 2014 ini. Apa yang perlu dilakukan hari ini adalah membuat carta untuk persediaan bagi kelas Pembinaan Karakter. Nanti aku hanya perlu ulangkaji sahaja untuk mengajar pelatih tidak kelam kabut untuk membuat kerja lain.

Sekurang-kurangnya ada masa rehat untuk meneruskan hari seterusnya dan ada masa bersama anak-anak. Kalau orang yang tidak pernah terlibat dengan bidang yang aku buat ini, mesti beranggapan persediaan yang macam mana lagi hendak buat sedangkan setiap kumpulan mengajar perkara yang sama. Apa sahaja kerja yang baik memerlukan persediaan yang rapi untuk mendapat kualiti terhadap pelanggannya. Begitu juga dengan kami seorang jurulatih, mahukan perkhidmatan yang kami berikan supaya pelanggan kami mendapat nilai di dalam kem selama 3 bulan ini.

Kalau orang tengok dan beranggapan kerja yang kami buat ini adalah kerja “gila”. Mana mungkin dapat mengubah orang dalam masa tidak sampai 3 bulan ini. Mereka sudah biasa dengan sikap mereka selama 18 tahun. Sekurang-kurangnya apa yang kami berkongsi tidak dapat banyak, sedikit pun memberi kesan pada remaja-remaja ini sekurang-kurangnya amat berharga.


Ini mengingatkanku kepada cerita “Tapak Sulaiman”. Aku selalu berkongsi cerita ini dengan pelatih. Ceritanya begini, Di pagi Subuh yang hening seorang tua berdiri di atas tebingan pasir sambil menikmati udara segar. Merenung ke bawah, dia melihat satu permandangan yang aneh. Di persisiran air beribu-ribu tapak sulaiman terdampar sejauh mata memandang, dibawa ombak selepas taufan malam semalam. Yang lebih aneh lagi kelihatan seorang anak kecil berulang kali membongkok, mengutip dan mencampakkan kembali tapak sulaiman ke laut. Berkata dibenak hati orang tua itu, "iskh...iskh...iskh kerja sia-sia, tidak mungkin budak itu boleh menyelamatkan ke semua tapak sulaiman itu". Lalu orang tua itu mengambil keputusan untuk menyedarkan anak kecil itu tentang perkara tersebut. Dia berjumpa dengan anak kecil itu sambil berkata, "wahai anakku, apa yang kau lakukan ini sia-sia sahaja, mana mungkin kamu dapat menyelamatkan ke semua tapak sulaiman yang terdampar di persisiran pantai".Anak kecil itu menjawab sambil mencampakkan tapak sulaiman yang ada ditangannya "sekurang-kurangnya saya menyelamatkan yang ini" dan meneruskan sumbangannya.

Nilai moral yang dapat di kongsi di sini ialah setiap manusia mempunyai pilihan dalam kehidupannya sama ada memilih untuk menjadi:

1. Tapak sulaiman di lautan.
Menjadi manusia yang sentiasa menerima apa jua cabaran dan dugaan yang dihadapi dengan tabah atau

2.Tapak sulaiman di lautan tetapi akhirnya kembali terdampar di tepi pantai.
Menjadi manusia yang menerima apa jua cabaran tetapi hanya berusaha separuh jalan kerana cepat berputus asa dan mudah mengalah.

3. Tapak sulaiman yang terdampar di tepi pantai.
Menjadi manusia yang cepat putus asa dan tidak mahu berusaha untuk mendapatkan kejayaan di dalam kehidupannya.

Dalam kehidupan ini kita merupakan pelakon yang mewarnai kehidupan ini. Dunia ini merupakan pentas kita. Jadi kita boleh membuat pilihan dalam kehidupan kita dengan mendapatkan petunjuk daripada tuhan yang maha esa. Bersyukur dengan apa yang ada dan sentiasa berusaha untuk menjadi insan yang terbaik dan menyenangkan orang di sekeliling kita.

Khamis, 27 November 2014

Hutang Wajib Dibayar.

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle


Salam ukhwah untuk semua,

Orang kata hidup kalau tidak berhutang tidak mampu untuk memiliki harta. Orang hidup sederhana macam saya ini mengakui apa yang diperkatakan itu adalah benar. Hendak beli kereta, hutang. Hendak beli rumah pun hutang, apa lagi kalau hendak beli tanah, lagi berhutang. Tapi kalau hutang dengan bank boleh pula dibayar. Sampai bila hendak berhutang?

Setiap kali gaji emak selalu berpesan, "jangan lupa bayar PTPTN sementara anak hang masih kecil". Setiap kali itu juga saya buat tidak tahu sahaja. Sudah lama sangat tidak membayar hutang PTPTN. Dulu masa gaji sedikit boleh bayar tetapi bila gaji sudah naik kenapa tidak sempat untuk membayar. Bila fikir untuk masa depan anak-anak saya pun mengambil keputusan untuk pemotongan gaji terus supaya tidak terasa pengaliran wang keluar.

Tahun lepas saya ada ke pejabat PTPTN untuk membayar dan mendapatkan perkhidmatan Ujrah. Malangnya nama saya telah disenaraihitamkan oleh pihak PTPTN. Saya berasa pelik kenapa nama saya telah disenaraihitamkan, sedangkan saya ada membauat pembayaran. Kerani di kaunter memohon maaf diatas kesilapan yang telah mereka lakukan. Namun begitu saya terpaksa membuat surat kepada pihak pentadbiran PTPTN untuk mengeluarkan nama saya daripada senaraihitam tersebut.Alhamdulillah akhirnya berjaya.

Setelah berjaya baru saya boleh buat pemotongan gaji, sepatutnya gaji saya telah dipotong pada bulan 10 tetapi pihak PTPTN masih belum membuat pemotongan. Tergerak hati untuk telefon semula ke Pejabat PTPTN Kuantan. Rupanya surat yang dihantar oleh mereka tidak sampai kepada saya dan pihak majikan saya. Bulan bila pula akan di potong bila sudah jadi begini? Jadi saya kena ambil inisiatif sendiri untuk membayar PTPTN agar tidak tertunggak.
Semoga dengan kesedaran saya ini dapat memurahkan rezeki saya anak beranak. Saya perlu konsisten membayar hutang PTPTN seperti saya membayar hutang kereta. Baru senang hidup dan rasa tenang. Mari kawan-kawan kita membayar hutang dan amalkan doa ini semoga hutang kita dapat dilangsaikan.

 

Isnin, 20 Oktober 2014

Jimat Dengan Menabung

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle

Setiap hari berulang dari tempat kerja ke rumah yang mengambil masa 90 minit untuk berulang. Bila dah berulang kena fikirkan duit minyak, duit penyelenggaraan setiap bulan, duit belanja harian. Hari ini pergi pulah pusat perkidmatan EON di Segamat. Masih mengguna duit. Setiap hari menggunakan duit. Duit asyik keluar sahaja tapi bila duit nak masuk. 

Masa ini kena berfikir macam mana hendak buat agar duit tidak hanya keluar. Apa cara harus dilakukan untuk berjimat. Hendak dapatkan duit sukar berbanding untuk menghabiskan. Tetiba teringat dengan pepatah melayu "sikit-sikit lama-lama jadi bukit". Ibu bapa juga sentiasa ingatkan anak-anak supaya menyimpan duit di masa senang. Agar dapat membantu di masa susah. 

Menyimpan duit juga perlu berdisiplin agar dapat menabung untuk kepentingan diri sendiri dan juga keluarga. Macam-macam cara kita tengok orang menabung. Sekurang-kurangnya kita boleh meniru cara yang berkesan untuk menabung. Kadang-kadang kita rasa remeh cara yang kawan-kawan kita buat dengan menyenaraikan perbelanjaan bulanan untuk berjimat. Dengan cara ini kita dapat mengetahui berapa perbelanjaan bulan kita.

Cara untuk menambahkan tabungan anda.


1. Menyimpan wang syiling.
Kebiasaan kita beli barang sentiasa berbaki duit syiling yang boleh disimpan di dalam tabung. Cara yang biasa kita akan lakukan. Begitu juga dengan anak-anak yang sentiasa diterapkan dengan budaya menyimpan. Hampir semua barang yang kita beli harga bukan bernilai genap seperti RM1, RM10 atau RM50. Kebanyakan berbaki syiling semasa kita membuat pembayaran seperti RM1.50 atau RM10.50. Baki inilah yang kita akan simpan di dalam tabung. Bila sudah banyak baru kita akan menyimpan di dalam akaun kita.

2. Pendapatan tambahan.
Sentiasa berfikir untuk mencari pendapatan tambahan supaya dapat menambah tabungan. Menambah pendapatan bermaksud kita boleh menambah duit tabungan kita. Cubalah untuk berniaga secara kecil-kecilan sama ada secara "online" atau "offline" dan menjadi konsultan sebagai langkah awal. Lama kelamaan sekiranya kita konsisten, insyaalah kita akan berjaya.

3. Lebihan wang perbelanjaan bulanan.
Setiap bulan, kita akan mendapat gaji daripada majikan pada tarikh yang sama setiap bulan. Pastikan sentiasa memeriksa duit lebihan perbelanjaan agar dapat menyimpan dan memberi penghargaan pada diri sendiri disebabkan kurang perbelanjaan pada bulan tersebut. Secara tidak langsung duit ini juga boleh ditambah dalam tabungan. Sentiasa amalkan supaya tabungan sentiasa bertambah.

4. Kenaikan gaji tahunan.
Setiap majikan pasti memberi kenaikan gaji untuk pekerjanya untuk memberi ganjaran supaya produk atau perkhidmatan sentiasa meningkat setiap tahun. Walaupun ada kenaikan gaji, tidak bermaksud kita perlu membelanjakan dengan sesuka hati. Kita perlu menyenaraikan semula perbelanjaan dan simpanan yang perlu kita lakukan. Disamping tidak melupakan ganjaran untuk diri sendiri setelah penat bekerja.

5. Bonus tahunan atau duit ganjaran.
Setiap orang pasti bergembira apabila mendapat duit bonus atau ganjaran. Tapi tidak bermaksud kita perlu menghabiskan duit tersebut. Buat senarai juga dan memastikan duit bonus atau ganjaran ini dapat disimpan untuk menambah duit tabungan. Contoh kita akan memberi ganjaran pada diri sebanyak 10% dan menyimpan 90% daripada duit bonus tersebut.

6. Bersedekah dan membayar zakat.
Kita selalu dengar di dalam ceramah agama bahawa pendapatan yang kita dapat bukan hak kita sepenuhnya. Jadi, jangan kedekut untuk memberi sedekah dan membayar zakat. Agar kita sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah S.W.T. Namun begitu perlu beringat lebih afdal sekiranya kita bersedekah kepada kaum keluarga kita terlebih dahulu.


Dalam masa kenaikan barang dan minyak di Malaysia, kita sebagai rakyat perlu berfikir panjang untuk berhutang agar pendapatan tidak melebihi hutang yang ada. Berfikir pelbagai cara untuk mendapatkan pendapatan tambahan serta tidak mengharapkan daripada satu punca pendapatan sahaja.

************************************


Jumaat, 10 Oktober 2014

Pemandu Berhemah

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle

Hari ini di kem telah laksanakan satu program Jabatan Keselamatan Jalan Raya yang telah diwajibkan kepada semua pelatih. Secara tidak langsung berpeluang untuk mengetahui tentang peraturan-peraturan dijalan raya. Dahulu memang tak pernah ambil tahu bab kereta ini. Sangkaan saya tak mampu untuk memandu kereta disebabkan kurang keyakinan diri. Walaupun begitu tersemat juga dihati untuk mempunyai kereta sendiri dan memandu sendiri.

Tidak menyangka matlamat saya telah tercapai setelah 5 tahun telah mendapat lesen baru yakin untuk memandu itupun hanya dari Muadzam Shah ke Keratong. Sebenarnya masih ada perasaan takut untuk memandu. Baru sahaja mendapat keyakinan untuk memandu, berlaku peristiwa yang tidak diingini iaitu kemalangan yang tidak disengajakan. 

Sekali lagi hilang keyakinan apabila kereta yang dipandu terbabas ke tebing jalan. Kereta yang dipandu tidak berjaya memotong lori, disebabkan ketidakyakinan dan keadaan kelam kabut. Namun begitu saya bersyukur kerana tuhan masih memberi nyawa yang panjang, walaupun pada waktu itu  tulang rusuk retak dan kereta remuk disebabkan berlanggar dengan pokok. 

Selepas daripada kemalangan tersebut saya menjadi kurang yakin dan fobia dengan lori. Selama 2 tahun juga saya tidak memandu. Lama masa yang diambil untuk membina semula keyakinan. Atas dorongan dan sokongan suami serta diri sendiri akhirnya saya berjaya membawa semula kereta. Alhamdulillah sehingga kini saya mampu membawa kereta ke bandar Kuantan dan Segamat.

Setelah dapat membawa kereta yang lebih jauh daripada Muadzam baru tergerak hati untuk mengambil tahu lebih berkaitan kereta dan peraturan di jalanraya. Antara petua yang diberikan kepada para pelatih dan juga jurulatih yang terlibat. Secara tidak langsung kita semua sebagai pengguna jalan raya patut mengambil tahu walaupun kita tidak memandu  secara tidak langsung.





























Sebagai rakyat Malaysia kita mesti menjadi pemandu berhemah untuk mengurangkan kadar kemalangan yang dianggarkan meningkat setiap tahun. Semasa memandu ingatlah orang yang tersayang dan mengguna petua yang telah digarapkan oleh JKJR untuk dijadikan panduan.

Khamis, 9 Oktober 2014

Cita-cita atau Matlamat Hidup?

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle


Kebiasaan setiap petang Khamis semua jurulatih akan diberikan tugas untuk berjumpa dengan mente masing-masing. Pada masa ini kami akan berkongsi cerita atau masalah yang berkaitan dengan mente masing-masing. Kebiasaan pelatih akan mencari jurulatih yang dia selesa untuk berkongsi masalah. Jadi tiada paksaan untuk berkongsi sekiranya mereka percaya kepada jurulatih tersebut. 

Sekiranya tiada masalah kami akan berkongsi cerita. Minggu ini kami berkongsi berkaitan dengan cita-cita bermula daripada kecil sehingga umur sekarang ini. Apa cita-cita yang terlintas difikiran untuk dijadikan sebagai matlamat hidup yang perlu dicapai. Secara keseluruhan cita-cita berbeza bila meningkat umur dari kecil hingga dewasa.

Begitu juga dengan saya dahulu mempunyai cita-cita yang berbeza-beza dari kecil lagi. Pada umur saya 6 tahun saya bermula dengan bercita-cita untuk menjadi seorang cikgu. Saya telah menjadikan guru tadika saya sebagai idola kerana berjaya menjadikan anak muridnya pandai mengenal huruf dan membaca. Masa itu terasa seronoknya bila besar nanti dapat menjadi seorang cikgu dan dapat mendidik anak bangsa. Setelah meningkat sehingga darjah 5, cita-citaku masih sama sebagai seorang cikgu. Rakan sekelas juga selalu panggil saya dengan gelaran "cikgu ketot" yang disebabkan ketinggian saya yang paling rendah dikalangan mereka dan sentiasa memberi arahan seperti seorang cikgu. Kerja ini dipandang mulia oleh masyarakat. Masyarakat memandang mulia kerja ini dan gelaran cikgu sampai ke mati. Sekurang-kurangnya anak murid akan sentiasa mendoakan kebaikan untuk cikgu-cikgunya.


Bila umur meningkat ke11 tahun cita-citaku telah berubah hendak menjadi wartawan. Pada masa itu saya minat dengan Majalah 3 yang dihoskan oleh Wan Zaleha Radzi. Saya berminat dengan cara penyampaiannya yang bersahaja, berkeyakinan dan nampak beliau seorang yang bermaklumat. Seronokkan jadi wartawan boleh pergi ke mana sahaja yang akan di jadikan bahan untuk setiap minggu. Boleh melancong ke seluruh negara atas tiket bekerja. Boleh pakai pakaian mengikut keinginan kita. Namun begitu, itu hanya angan-angan sahaja. Boleh atau tidak saya hendak menjadi wartawan, dengan tiada keyakinan dalam diri. Menaiki bas pun saya takut, sebabnya takut hendak tekan loceng. Kelakar pula bila ingat masa kanak-kanak. 

Perubahan berlaku lagi dalam menetapkan cita-citaku bila masuk ke sekolah menengah. Saya kembali untuk menjadi seorang cikgu. Mungkin di dalam jiwa ini lebih berminat kepada seorang cikgu. Sekali lagi, saya menjadikan cikgu Bahasa Melayu saya sebagai idola pada masa itu. Cara mengajarnya berbeza dengan cikgu-cikgu lain. Beliau menggunakan tv dan radio sebagai alat bantu mengajar untuk menarik minat pelajarnya. Mengkaji lagu dan cerita P.Ramlee. Seronokkan kalau semua cikgu berfikiran macam cikgu SuMesti semua pelajar tidak jadi ponteng kelas sebab berminat dengan kelas yang dibuat. Rindu pula masa untuk sekolah, hakikatnya masa tidak boleh berputar semula.


Bila masuk universiti cita-cita saya sekali lagi berubah untuk menjadi seorang tentera. Seorang tentera mesti mencukupi berat badan dan ketinggian yang telah ditetapkan. Namun aku tidak berputus asa tetap pergi mencuba untuk temuduga masuk PALAPES yang dilakukan di universiti. Belum lagi masuk awal-awal lagi dah kena tolak. Berat badan kurang sangat. Namun begitu semasa di universiti kawan-kawan saya terdiri daripada PALAPES. Seronok berkawan dengan mereka yang tidak pernah mengambil hati semasa bergurau. Namun begitu saya masih berusaha juga untuk menaikkan berat badan dengan mengambil makanan berat pada lewat malam. Kononnya ikut petua kawan-kawan yang memberi harapan agar saya dapat meningkatkan berat badan saya. Setelah sebulan saya amalkan berat badan masih tetap sama tetapi rakan sebilik saya yang kelihatan membesar.


Saya kecewa dan terus tukar cita-cita untuk menjadi seorang yang mahir dengan komputer. Pada masa ini saya amat berminat dengan pengaturcaraan. Masa di universiti saya memang mengambil jurusan teknologi maklumat. Ditambah dengan sokongan rakan-rakan dan pensyarah untuk meneruskan pengajian. Walaupun pada masa tersebut ramai rakan-rakan yang mengambil jurusan yang sama telah bertukar kepada Teknologi Maklumat dengan pendidikan. Memang le sebelum ini saya berminat untuk menjadi seorang cikgu, tetapi atas nasihat pensyarah saya tetap meneruskan pengajian saya. Keputusan dibuat berdasarkan minat dan nasihat orang lain. Pada masa itu terlalu minat dalam bidang pengaturcaraan kerana mendapat kepuasan bila dapat melaksanakan satu program yang dilakukan. Kepuasannya tidak boleh diceritakan pada orang lain. Setelah habis praktikum, kami mempunyai kumpulan untuk melaksanakan projek IT. Namun disebabkan berpecah kumpulan tersebut, maka tidak berlaku apa yang diinginkan.


Setelah gagal dengan projek IT rakan saya yang bekerja sebagai kerani sekolah ada menawarkan untuk saya menjadi seorang cikgu. Walaupun bukan menjadi cikgu tetap saya terus sahaja menerima pekerjaan tersebut. Sudah ada minat dan peluang maka saya mengambil ianya sebagai satu pekerjaan sementara. Mencari pengalaman yang berharga untuk seorang 
pekerja yang baru sahaja menapak di alam pekerjaan. Pada masa ini ramai dikalangan rakan saya telah menjadi seorang cikgu yang tetap t tetapi saya tetap juga tiada peluang. Mungkin ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menjadi seorang Jurulatih PLKN walaupun jawatannya berbeza dengan apa yang dicita-citakan tetapi kami tetap di panggil "cikgu". Saya merasakan kepuasan dengan pekerjaan yang saya lakukan sekarang ini. Sudah banyak pengalaman yang saya perolehi dengan bekerja seagai jurulatih dan pernah berkhidmat dipelbagai kem. Pengalaman ini suatu yang berharga untuk saya. Saya juga telah memperolehi apa yang saya cari selama ini iaitu sebuah "keyakinan".

Sabtu, 27 September 2014

Bercakap Dengan Yakin!

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle


Bercakap di khalayak ramai memerlukan keyakinan yang tinggi. Perkara yang tidak dapat dilupakan pada tahun 2010 bersama wirawati yang baru mula mencuba untuk bercakap di hadapan orang ramai. Bukan ramai pun orang di dalam kelas, anggaran dalam 80 orang yang setaraf dengannya. Bila di beri peluang untuk bercakap di hadapan, dia mengambil risiko untuk mencuba. Bila berada di hadapan dia menggigil dan menyorok di belakang "flipchart" seperti nampak hantu. Kami jurulatih di belakang menjadi risau kerana pada masa itu musim pelatih kena hesteria. Bila ditanya rupanya dia takut untuk bercakap dikhalayak ramai.

Dari pengalaman, hasil pembacaan serta perkongsian kawan-kawan yang boleh dikongsi bersama untuk bercakap dengan lebih yakin bila berada di khalayak ramai:

1. Persediaan awal.
Persediaan diri lebih awal terhadap tajuk yang hendak disampaikan. Perlu menguasai dan memahami tajuk yang hendak disampaikan supaya mudah untuk berkomunikasi dengan pendengar. Antara persediaan yang boleh dibuat dengan bercakap di hadapan cermin atau bercakap seorang dengan membayangkan kita bercakap dengan orang ramai.


2. Datang awal.
Bila hendak memberi syarahan atau ceramah perlu membuat persediaan diri dan peralatan yang akan membantu untuk penyampaian yang baik. Ini serba sedikit dapat menghilangkan rasa gementar.

3. Bernafas
Semasa penyampaian kita perlu bernafas seperti biasa. Bila gementar secara tidak langsung kita akan bercakap laju supaya cepat habis. Ini menyebabkan penyampaian kurang menarik kerana bercakap seperti tidak sempat untuk bernafas. Kawal pernafasan semasa membuat penyampaian dengan beranggapan seperti kita bercakap seperti biasa.

4. Pelbagai nada dan intonasi.
Penyampaian yang baik boleh menguasai pendengar dengan menggunakan nada dan intonasi yang pelbagai mengikut kesesuaian. Kelantangan suara juga diperlukan supaya pendengar dapat mendengar dengan jelas. Ini kerana bila kita gementar kadangkala suara kita menjadi perlahan dan tidak didengari oleh keseluruhan pendengar. Penyampaian yang baik tidak menggunakan petikan teks. Jika baru dalam bidang penyampaian perlu buat persediaan dengan nota kecil bagi isi penting yang hendak disampaikan, bercakap dengan penuh keyakinan.

5. Penampilan yang sesuai.
Penampilan seseorang amat penting untuk menyampaikan dengan penuh keyakinan. Ini dapat membantu untuk seseorang berdiri dengan penuh keyakinan dan sentiasa berada dalam posisi terbuka. Disamping bersuara juga dengan yakin untuk mendapatkan penyampaian yang baik. Bermula dengan senyuman juga dapat meyakinkan seseorang. Boleh diamalkan.


6. Pandangan mata dan bahasa badan.
Pandangan mata amat penting untuk merasakan kehadiran kita bersama pendengar. Kita yang menyampaikan pun memerlukan perhatian daripada pendengar supaya kita tidak merasai bahawa syok seorang. Bila kita bercakap tanpa menggunakan teks secara tidak langsung bahasa badan juga dapat berinteraksi dengan pendengar. Namun begitu kita kena kawal bahasa badan ini dan bergerak dengan bertujuan. Kadangkala kita tidak sedar kita akan masukkan tangan ke dalam kocek, bermain dengan pen di tangan, menggaru kepala yang tidak gatal, bergoyang ke kiri dan kanan apabila kita rasa gementar. Semuanya kita boleh kawal sekiranya kita sampaikan dengan penuh keyakinan.

7. Komunikasi dua hala.
Semasa penyampaian wujudkan komunikasi dua hala untuk melihat reaksi pendengar sama ada dia faham atau sebaliknya. Kebiasaannya kita akan menggunakan soalan yang mengharapkan jawapan supaya secara keseluruhan bukan kita bercakap seorang namun dapat dikembangkan lagi penyampaian dengan memberi peluang kepada pendengar untu bercakap. Kita juga boleh memberi soalan yang tidak mengharapkan jawapan, kita tanya dan kita akan menjawab. Ini kerana kita mahukan pendengar memberi tumpuan dan berasa seronok dan mula memberi tumpuan kepada kita.

8. Sebutan perkataan yang menampakkan kita kurang yakin.
Setiap orang bercakap di hadapan akan rasa gementar walaupun sudah mempunyai pengalaman. Tanpa disedari kita akan menggunakan sebutan yang hanya sekadar melengkapkan perkataan seperti 'aaa', 'err', 'mmm', 'ehh', 'ok' dan 'kan'. Kawal perkataan ini untu menampakkan kita lebih yakin.

Setelah diberi peluang dan memberi tips yang boleh diikuti oleh pelatih tersebut, alhamdulillah dia dapat bercakap dihadapan dengan penuh keyakinan. Ketakutan diawalnya sudah hilang. Dia bersyukur dapat memasuki khidmat negara kerana dia telah belajar sesuatu dan dapat meningkatkan keyakinan dirinya. Mari sama-sama kita amalkan supaya kita dapat berinteraksi dengan orang ramai dengan penuh keyakinan.



Jumaat, 12 September 2014

Kejayaan Bermula Dengan Keyakinan Diri


Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle

Kekurangan keyakinan menyebabkan seseorang tidak dapat mencapai matlamat hidupnya. Begitu juga dengan saya yang mempunyai matlamat untuk menjadi seorang guru di mana sahaja pusat pendidikan. Mengetahui kekurangan diri saya mencari keyakinan diri yang hilang dengan mengikuti kursus yang telah dianjurkan oleh pihak KMB. Alhamdulillah akhirnya apa yang dicari telah dijumpai walaupun tidak sepenuhnya.

Semasa sekolah dahulu lagu "Fikirkan Boleh" menjadi pembakar semangat untuk meningkatkan motivasi diri. Walaupun sudah bertahun lamanya lagu ini tetap digunakan untuk meningkatkan jati diri terutama para remaja. Lagu yang ringkas tetapi mempunyai maksud yang mendalam. Mari sama-sama kita menghayatinya. Yakin pada diri bahawa kita juga boleh berjaya seperti orang lain.



Semua orang mempunyai matlamat, untuk menjadikan matlamat itu menjadi kenyataan kita perlu yakin bahawa kita boleh lakukan. Keyakinan diri yang tinggi menyebabkan orang sekeliling berasa yakin dengan diri kita.
Tips meningkatkan keyakinan diri yang boleh dikongsi daripada bersama daripada bacaan blog kawan-kawan dan telah dipraktikkan sendiri oleh saya semenjak menjadi seorang jurulatih. Alhamdulillah keyakinan diri semakin terpamir walaupun mengambil masa yang lama.

1.Penampilan menarik kerana ia boleh mempengaruhi emosi seseorang dan boleh mengubah cara pewatakan diri serta berinteraksi dengan orang lain. Sekadar hanya dengan kemas, selesa, bersih dan menarik perhatian orang lain tidak perlu pakaian yang mahal-mahal.

2. Berjalan dengan cepat kerana mengejar masa. Walaupun tidak mengejar masa cuba jadikan sebahagian cara dalam kehidupan kerana memberi rasa keyakinan lebih baik. Disamping boleh menjadikan satu senaman dan kita dapat menggunakan tenaga dan menjimatkan masa untuk melaksanakan tugas harian.

3. Postur badan yang betul. Kedudukan badan yang betul semasa berdiri, duduk atau berjalan membuatkan anda berasa lebih yakin dan selesa dengan diri sendiri. Postur badan menentukan keyakinan seseorang samaada dia boleh melakukan atau sebaliknya.

4. Cari kelebihan diri sendiri. Setiap manusia mempunyai kelebihan masing-masing. Cuba senaraikan seberapa banyak kelebihan di dalam diri bagi membolehkan motivasi diri sekiranya berasa kurang keyakinan dengan diri sendiri. Baca semula senarai tersebut bagi meningkatkan semula keyakinan diri. Menurut Perunding Psikologi Klinikal, Paul Jambunathan, manusia lebih banyak menyenaraikan emosi negatif berbanding emosi positif.

5. Bersyukur kepada tuhan ke atas apa yang kita miliki dan masih diberi peluang untuk terus hidup dan menikmati keindahan alam. Luangkan sedikit masa untuk menunjukkan tanda syukur dan sentiasa mengingati tuhan yang maha esa dengan berzikir  yang dijadikan amalan harian.

6. Sentiasa memberi pujian. Tidak kedekut memberi pujian kepada orang lain dengan seikhlas hati. Elakkan daripada mengumpat kerana lebih banyak perasaan negatif  dan memberi kesan yang negatif juga dalam diri dan persekitaran.

7. Duduk di hadapan. Kebiasaan kita jarang untuk berebut duduk di barisan hadapan, yang direbut berada di barisan belakang. Menurut kata ustaz masa belajar dahulu, orang yang berada di depan lebih mudah untuk menerima ilmu berbanding yang berada di belakang. Duduk di hadapan membolehkan kita mudah melihat, mendengar dan mendapat maklumat dengan lebih jelas. Malahan mempunyai peluang untuk bertanya dan mudah dikesan oleh individu penting yang memberi taklimat.

8. Ambil peluang bercakap. Ambil peluang untuk memberi pandangan walaupun sekali sekala. Ini meningkatkan keyakinan diri untuk bercakap dikhalayak ramai. Menjadi pendengar yang baik juga penting sebelum memberi pandangan atau pendapat untuk disuarakan.

9. Bersenam. Tahap kesihatan dan kecergasan memberi banyak kesan keyakinan seseorang kerana individu yang mempunyai berat badan yang seimbang biasanya lebih yakin dengan diri sendiri.

10. Murah senyuman. Senyuman memberi kesan positif secara langsung pada diri sendiri dan juga persekitaran. Disebabkan senyuman semua orang yang ada disekeliling kita juga turut tersenyum yang membuatkan kita rasa tenang dan gembira. Malahan dengan senyuman akan melindungi kedukaan dan keresahan hati dan ia membuatkan kita tampak lebih berkeyakinan.

Mari kita praktikkan dalam kehidupan kita agar rakyat Malaysia lebih berkeyakinan untuk membuat keputusan dalam kehidupan mereka. Diharap ilmu ini dapat dipanjangkan lagi kepada semua orang dan memberi manfaat kepada semua orang yang sentiasa inginkan perubahan diri.


KEYAKINAN DIRI

"CARA YANG BIASA DILAKUKAN UNTUK MENDAPATKAN KEYAKINAN DIRI, DAN TELAH DIPRAKTIKKAN UNTUK DIRIKU SENDIRI"

Ahad, 10 Ogos 2014

Pendidikan Awalku

Teks: norazita bt adnan
Foto: carian geogle

Setiap insan pasti akan diberi pendidikan awal oleh ibu bapa masing-masing. Begitu juga dengan diriku yang mendapat pendidikan bermula tahun 1985. Di Tadika KEMAS tetapi pada masa mula persekolahan hanya menumpang di kawasan perumahan. Walaupun begitu masih tetap bersekolah di tempat yang serba kekurangan kemudahan asasnya.


Pada tahun 1986 bertukar ke bangunan yang telah disediakan oleh kerajaan iaitu Sekolah Kebangsaan (LKTP) Keratong 6 & 7 dan sekarang bangunannya telah diasingkan antara keratong 6 dan 7. Pada masa ini guru tidak ramai berbanding murid sehingga 6 kelas dan sekelas dalam 40 orang murid yang dikawalselia oleh seorang guru. Mendapat pendidikan di sini sehingga ke tahun 6.
Perkara yang tidak disangka oleh aku ialah menjadi cikgu di sini setelah 20 tahun berlalu. Dahulunya dia bergelar cikgu aku sekarang menjadi rakan sekerja. Di sini baru mengetahui lumrah kehidupan sebenar. Dahulunya menganggap guru adalah insan terbaik yang boleh dicontohi. 
Antara Ciri-ciri guru yang hebat yang boleh dicontohi:
1. Mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori.
2. Bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja.
3. Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran.
4. Prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa.
5. Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid-murid.
6. Mempastikan situasi "Guru mengajar murid belajar" wujud di dalam kelas.
7. Profesional dan menumpukan perhatian kepada P&P di sekolah.
8. Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik 
    unggul pada setiap masa.
9. Berupaya membina minda pelajar yang cemerlang akademik.
Kini tahun 2014, anakku yang sulung pula bersekolah di sekolah yang sama dengan 
ku dahulu. Hari jumaat 8 Ogos 2014 telah mengingatkan aku semula di zaman persekolahan dahulu. Alangkah seronoknya bila boleh diputarkan semula masa lalu. Semua itu hanyalah khayalan semata-mata. Usia semakin hari, semakin meningkat. Masa itu amat berharga.



Harapanku semoga anakku Dania Arisya menjadi seorang insan yang berguna di dunia dan di akhirat di atas tunjuk ajar guruku gurumu jua. Terima kasih cikgu mendidikku sehingga berjaya. Semoga anakku lebih mendapat kejayaan daripada apa yang aku perolehi.