Sabtu, 27 September 2014

Bercakap Dengan Yakin!

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle


Bercakap di khalayak ramai memerlukan keyakinan yang tinggi. Perkara yang tidak dapat dilupakan pada tahun 2010 bersama wirawati yang baru mula mencuba untuk bercakap di hadapan orang ramai. Bukan ramai pun orang di dalam kelas, anggaran dalam 80 orang yang setaraf dengannya. Bila di beri peluang untuk bercakap di hadapan, dia mengambil risiko untuk mencuba. Bila berada di hadapan dia menggigil dan menyorok di belakang "flipchart" seperti nampak hantu. Kami jurulatih di belakang menjadi risau kerana pada masa itu musim pelatih kena hesteria. Bila ditanya rupanya dia takut untuk bercakap dikhalayak ramai.

Dari pengalaman, hasil pembacaan serta perkongsian kawan-kawan yang boleh dikongsi bersama untuk bercakap dengan lebih yakin bila berada di khalayak ramai:

1. Persediaan awal.
Persediaan diri lebih awal terhadap tajuk yang hendak disampaikan. Perlu menguasai dan memahami tajuk yang hendak disampaikan supaya mudah untuk berkomunikasi dengan pendengar. Antara persediaan yang boleh dibuat dengan bercakap di hadapan cermin atau bercakap seorang dengan membayangkan kita bercakap dengan orang ramai.


2. Datang awal.
Bila hendak memberi syarahan atau ceramah perlu membuat persediaan diri dan peralatan yang akan membantu untuk penyampaian yang baik. Ini serba sedikit dapat menghilangkan rasa gementar.

3. Bernafas
Semasa penyampaian kita perlu bernafas seperti biasa. Bila gementar secara tidak langsung kita akan bercakap laju supaya cepat habis. Ini menyebabkan penyampaian kurang menarik kerana bercakap seperti tidak sempat untuk bernafas. Kawal pernafasan semasa membuat penyampaian dengan beranggapan seperti kita bercakap seperti biasa.

4. Pelbagai nada dan intonasi.
Penyampaian yang baik boleh menguasai pendengar dengan menggunakan nada dan intonasi yang pelbagai mengikut kesesuaian. Kelantangan suara juga diperlukan supaya pendengar dapat mendengar dengan jelas. Ini kerana bila kita gementar kadangkala suara kita menjadi perlahan dan tidak didengari oleh keseluruhan pendengar. Penyampaian yang baik tidak menggunakan petikan teks. Jika baru dalam bidang penyampaian perlu buat persediaan dengan nota kecil bagi isi penting yang hendak disampaikan, bercakap dengan penuh keyakinan.

5. Penampilan yang sesuai.
Penampilan seseorang amat penting untuk menyampaikan dengan penuh keyakinan. Ini dapat membantu untuk seseorang berdiri dengan penuh keyakinan dan sentiasa berada dalam posisi terbuka. Disamping bersuara juga dengan yakin untuk mendapatkan penyampaian yang baik. Bermula dengan senyuman juga dapat meyakinkan seseorang. Boleh diamalkan.


6. Pandangan mata dan bahasa badan.
Pandangan mata amat penting untuk merasakan kehadiran kita bersama pendengar. Kita yang menyampaikan pun memerlukan perhatian daripada pendengar supaya kita tidak merasai bahawa syok seorang. Bila kita bercakap tanpa menggunakan teks secara tidak langsung bahasa badan juga dapat berinteraksi dengan pendengar. Namun begitu kita kena kawal bahasa badan ini dan bergerak dengan bertujuan. Kadangkala kita tidak sedar kita akan masukkan tangan ke dalam kocek, bermain dengan pen di tangan, menggaru kepala yang tidak gatal, bergoyang ke kiri dan kanan apabila kita rasa gementar. Semuanya kita boleh kawal sekiranya kita sampaikan dengan penuh keyakinan.

7. Komunikasi dua hala.
Semasa penyampaian wujudkan komunikasi dua hala untuk melihat reaksi pendengar sama ada dia faham atau sebaliknya. Kebiasaannya kita akan menggunakan soalan yang mengharapkan jawapan supaya secara keseluruhan bukan kita bercakap seorang namun dapat dikembangkan lagi penyampaian dengan memberi peluang kepada pendengar untu bercakap. Kita juga boleh memberi soalan yang tidak mengharapkan jawapan, kita tanya dan kita akan menjawab. Ini kerana kita mahukan pendengar memberi tumpuan dan berasa seronok dan mula memberi tumpuan kepada kita.

8. Sebutan perkataan yang menampakkan kita kurang yakin.
Setiap orang bercakap di hadapan akan rasa gementar walaupun sudah mempunyai pengalaman. Tanpa disedari kita akan menggunakan sebutan yang hanya sekadar melengkapkan perkataan seperti 'aaa', 'err', 'mmm', 'ehh', 'ok' dan 'kan'. Kawal perkataan ini untu menampakkan kita lebih yakin.

Setelah diberi peluang dan memberi tips yang boleh diikuti oleh pelatih tersebut, alhamdulillah dia dapat bercakap dihadapan dengan penuh keyakinan. Ketakutan diawalnya sudah hilang. Dia bersyukur dapat memasuki khidmat negara kerana dia telah belajar sesuatu dan dapat meningkatkan keyakinan dirinya. Mari sama-sama kita amalkan supaya kita dapat berinteraksi dengan orang ramai dengan penuh keyakinan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan