Jumaat, 17 Oktober 2014

Budaya Kerja Cemerlang Masa Kini

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle

Setiap manusia pasti akan mencari pekerjaan yang diminati untuk menjadikan satu kerjaya dalam hidupnya. Namun begitu bukan mudah untuk mendapatkan pekerjaan yang kita impikan. Sebenarnya banyak persediaan yang perlu kita lakukan untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan yang diimpikan, terutamanya persediaan diri sendiri.

Kebiasaan kita akan ditemuduga untuk mendapatkan pekerjaan. Kita akan membuat persiapan dengan mengambil tahu serba sedikit tentang syarikat serta isu semasa sebagai persiapan diri. Namun begitu masih belum cukup untuk kita kelihatan lebih yakin di hadapan penemuduga. Mereka juga akan melihat nilai, sikap dan kemahiran seseorang individu untuk diambil bekerja supaya sesebuah organisasi boleh lebih maju.

Disamping persiapaan yang dibuat kita juga perlu memiliki 10 ciri budaya kerja cemerlang di dalam diri. Baru kita akan kelihatan berkeyakinan di hadapan panel penemuduga. Ciri-ciri ini perlu ada dalam diri individu untuk berjaya dalam dunia pekerjaan masa kini. Antara 10 ciri yang perlu ada dalam diri seperti berikut:


1. Menepati Masa.
Masa amat penting tidak kira semasa sekolah atau di alam pekerjaan. Pengurusan masa seseorang yang teratur membolehkan kita melakukan lebih banyak perkara dalam satu masa. Penemuduga amat menitik beratkan ciri ini untuk memilih seorang pekerja. Ini kerana ia mempunyai kaitan dengan rasa percaya, hormat dan keyakinan diri. Secara tidak langsung apabila kita menepati masa kita juga dapat menunaikan janji dengan orang lain dan diri sendiri.

2. Kemahiran Teknologi.
Teknologi kini sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran zaman. Sebagai seorang pekerja yang cemerlang kita perlu mengikuti teknologi terkini. Ini kerana dengan penggunaan teknologi kita dapat melakukan suatu pekerjaan dengan lebih mudah. Negara akan mundur sekira rakyatnya tidak mengambil berat pasal teknologi ini. Lebih baik sekiranya kita menjadi pereka teknologi dan bukan mengharapkan teknologi yang sedia ada sahaja.

3. Kreatif.
Setiap manusia dilahirkan mempunyai kreativiti masing-masing. Samaada mereka hendak aplikasikan dalam hidup atau sebaliknya. Disebabkan kreativiti maka terhasil pelbagai barang seperti roda yang dahulunya dibuat daripada kayu dan sekarang kita menggunakan roda besi. Kreatif bermaksud berfikir diluar kebiasaan dan boleh menghasilkan pelbagai perkara baru dan boleh menjadikan pelbagai pilihan dalam kehidupan. Dengan ini kita dapat bergerak menuju ke negara maju dan dapat menyelesaikan masalah yang menggugat kehidupan kita.

4. Fasih Berbahasa.
Komunikasi amat penting dalam kehidupan terutama semasa bekerja. Perkara ini juga akan dilihat oleh penemuduga sama ada pekerja yang bakal diambil lancar dalam perbualan, petah untuk bercakap, kemahiran mendengar dan mahir dalam penulisan. Sekiranya kita lemah dalam berbahasa dengan fasih dan baik ini akan menyebabkan komunikasi kita kurang berkesan dalam apa jua yang kita lakukan. Namun begitu sekiranya kita fasih berbahasa dalam bahasa asing juga merupakan markah tambahan untuk kita menjadi seorang pekerja yang cemerlang. Disamping kita tidak mudah ditipu oleh bangsa lain dalam berkomunikasi.

5. Integriti.
Ciri ini berkaitan dengan sifat kejujuran seseorang. Secara tidak langsung kita akan melakukan kerja dengan jujur dan ikhlas dan bukan sebaliknya. Integriti  bermaksud apa yang kita cakap, kita juga buat. Di dalam kebanyakan syarikat memang menitik beratkan ciri ini untuk membangunkan sesebuah organisasi.

6. Terbuka.
Manusia suka akan perubahan tetapi manusia menentang akan perubahan pada dirinya. Namun begitu dalam bidang kerja kita perlu ada sifat yang terbuka untuk berubah, menerima pendapat orang lain dan terbuka dalam situasi yang berubah. Dengan sikap terbuka ini juga kita dapat melihat pelbagai sudut pandangan dan perkara baru dalam kehidupan kita. Kita dapat membuat pilihan dengan lebih berkesan lagi.


7. Ahli Pasukan.
Kebiasaan dalam kerja untuk mendapatkan hasil yang lebih baik, kita perlu bekerja secara berkumpulan. Ini kerana kerja secara individu tidak dapat kesan sebaik seperti kerja berkumpulan. Ahli pasukan yang baik  akan memastikan suatu kerja yang dilakukan dapat dihasilkan dengan cepat, cekap dan bermutu. Namun begitu ahli pasukan yang baik memerlukan seorang pemimpin yang baik dan boleh menguruskan ahli pasukannya dengan baik.

8. Kepimpinan.
Semua orang dilahirkan mempunyai sifat kepimpinan. Ciri kepimpinan amat penting dalam satu pasukan supaya tidak huru hara dan ahli pasukan dapat melakukan kerja dengan fokus kerja yang telah diberikan oleh ketua. Ketua yang baik dapat menghasilkan ahli pasukan yang baik dan harmoni.

9. Komited.
Sekiranya kita memberikan keputusan seratus peratus dengan tindakan yang berkesan maka akan menghasilkan keputusan yang memberangsangkan. Komited di sini bermaksud kita akan melakukan apa sahaja untuk mencapai sesuatu matlamat. Sifat putus asa tiada dalam diri bagi memastikan matlamat tercapai. Dengan ini kita akan mencari pelbagai cara untuk memastikan matlamat tercapai walaupun pelbagai rintangan dan cabaran yang kita bakal hadapi.

10.Bertanggungjawab.
Apabila kita bekerja dalam kumpulan, kebiasaan kita akan dibahagikan mengikut pekerjaan yang telah diberikan oleh ketua. Sekiranya kita seorang yang bertanggungjawab, kita akan melakukan pekerjaan itu dengan sebaiknya. Kita juga akan memastikan bahawa kumpulan kita juga akan dapat melakukan kerja tersebut dengan jayanya. Bukan hanya tertumpu pada kerja kita sahaja.

Nilai-nilai positif ini perlu ada dan akan setiasa berubah mengikut peredaran masa. Ciri positif lain juga penting dalam diri untuk memajukan diri sendiri, masyarakat dan negara. Ciri-ciri ini perlu dipelajari dan dibina dalam diri kerana tiada satu ciri pun yang terhasil sejak atau semasa kita lahir. Mari sama-sama kita amalkan supaya terserlah kecemerlangan diri dalam organisasi kita.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan