Ahad, 23 November 2014

Kukuhkan Perhubungan Waktu Cuti Sekolah

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle

Alhamdulillah tuhan masih memberi peluang untuk bernafas hari ini. Sudah bermulanya waktu untuk cuti sekolah. Sebelum ini biasanya pagi-pagi anak-anak dihantar ke sekolah untuk diberi didikan oleh cikgunya di sekolah. Bila cuti sekolah tugas tersebut bertukar tangan kepada ibu bapa sepenuhnya. Walaupun anak-anak masih kecil, namun pada usia ini perlu dididik supaya senang mereka ikuti apabila mereka meningkat remaja.

Jadual untuk kakak telah dibuat supaya dia tidak meninggalkan terus pembelajarannya di sekolah. Cuti sekolah 2 bulan merupakan masa yang panjang sekiranya kakak tidak mengisikan masanya dengan pembelajaran yang telah diterapkan oleh cikgunya. Jadual dibuat diawal pagi supaya kakak tidak terlalu lewat bangun pagi. Alhamdulillah setakat ini kakak dapat mengikut jadual yang telah dibuat. Dengan adanya jadual ini kakak tidak terus meninggalkan pembelajaran yang telah diajar oleh cikgunya. Ini kerana cuti sekolah 2 bulan merupakan jangka masa yang panjang, rugi sekiranya kakak tidak memanfaatkan masa dengan sebaiknya.

Walaupun cuti sekolah, saya akan memastikan anak-anak saya bangun pagi untuk solat subuh bersama. Kebiasaan mereka bangun pagi untuk ke sekolah, jadi tiada masalah untuk mereka bangun awal di hari cuti. Biasalah kanak-kanak pastinya sukar untuk bangun awal, lagi-lagi bila tahu dia cuti. Bagi kakak untuk bangun pagi memang mudah berbanding dengan abang. Namun saya membiasakan mereka agar bila mereka meningkat remaja perkara ini menjadi kebiasaan untuk mereka.

Setiap pagi saya akan menyuruh anak-anak saya membaca iqra' di rumah sebelum mereka ke rumah tok guru untuk mengaji. Dengan cara ini mereka boleh melancarkan pembacaan dan lebih cepat mengenali. Saya juga menggalakkan mereka untuk mengulangkaji pelajaran di awal pagi sebelum mereka berehat. Mengikut jadual sebenarnya tidak sesukar mana sekiranya ada komitmen diri dan pemantauan ibu bapa.


Setiap kali selepas maghrib saya akan menyiapkan anak-anak untuk menghantar ke kelas mengaji. Mereka bersemangat dan saya akan turut memberi sokongan sementara mereka masih berminat. Cara ini sahaja mereka dapat meningkatkan kemahiran membaca iqra'. Kebiasaan bila mereka membaca dengan saya tidak konsisten, jadi saya mengambil keputusan untuk memberi tok guru saya dahulu untuk mengajar mereka.

Pada cuti sekolah ini juga saya mengambil peluang untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Saya telah membawa anak-anak untuk melawat sepupu mereka di Muadzam. Mereka akan lebih rapat sekiranya mereka selalu bertemu dan bermain bersama-sama. Secara tidak langsung akan timbul perasaan kasih sayang terhadap saudara mereka. Saya melakukan perkara yang sama seperti ibu dan bapa saya membawa kami adik-beradik untuk bertemu sanak saudara pada musim cuti sekolah.

Sebagai ibu yang berkerjaya saya juga mengambil peluang untuk cuti bersama. Dengan ini saya dapat mengajar aspek pengurusan diri dan asas pengurusan rumah tangga seperti membasuh kasut, mengemas rumah, menyapu sampah, mencuci pinggan dan mengasuh adik. Dengan cara ini mereka belajar sesuatu yang beru disamping membantu ibu dan bapa di rumah. Ini kerana budaya rajin membantu dapat dibentuk di awal usia. Mereka akan memahami tanggungjawab mereka sebagai anak juga diperlukan untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan