Khamis, 11 September 2014

Menziarahi Orang Sakit

Teks: norazitaadnan
Foto : Carian geogle

Semalam membawa keluarga menziarahi abang ipar yang sakit di hospital. Semasa menziarahi kebetulan ada jiran yang juga turut berada di hospital yang sama. Walaupun tidak berapa kenal kami turut menziarahi kerana kebetulan berada di situ. Betul kata orang-orang tua bahawa melawat orang sakit dapat menginsafkan diri.  Syukur ke hadrat ilahi kerana masih memberi kesihatan yang baik ke atas diri dan juga keluarga.

Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat mu’akkad iaitu sunat yang sangat dituntut oleh agama. Kita disunatkan menziarahi orang sakit tidak hanya terbatas kepada sahabat atau jiran tetangga, saudara Islam yang tidak dikenali mahupun musuh atau orang yang pernah menyakiti kita. Itu sebab ustaz kata maafkan orang sebelum tidur jadi tiada dendam sesama kita.

Kalau orang kafir yang sakit pun kita harus meziarahi, tetapi disunatkan menziarahinya jika dia dari kalangan ahli terdekat atau jiran atau kerana berharap supaya dia memeluk Islam. Dalam menziarahi orang sakit, adakalanya kita lupa akan adab-adab yang perlu diikut sehingga niat yang baik hanya akan membebankan orang sakit dan bukan seperti yang diharapkan. 

Antara adab-adab yang perlu dijaga:
  1. Menziarah dengan ikhlas dan niat yang baik kerana Allah S.W.T
  2. Memilih masa yang sesuai untuk menziarah. Tidak terlalu kerap kerana dikhuatiri mengganggu dan mendatangkan kesulitan pada orang yang sakit. Sekiranya mendatangkan kesulitan dan kesusahan pada pesakit hukumnya makruh untuk menziarahi. Namun digalakkan sekiranya mempunyai perhubungan yang rapat dengan pesakit. Ulama mengatakan menziarahi pesakit pada hari Jumaat lebih afdal daripada hari-hari lain.
  3. Semasa melawat sebaiknya berada di bahagian kepala supaya pesakit mudah dan selesa untuk berinteraksi.
  4. Bertanya keadaan orang sakit dengan meletakkan tangan di dahi atau tangan pesakit. Disunatkan juga bertanya khabar kepada ahli keluarga sekiranya pesakit tenat dan tidak boleh bercakap. Bercakap perkara penting sahaja dan tidak terlalu banyak soalan kepada ahli keluarga sehingga menjengkelkan orang lain.
  5. Sentiasa mengucapkan kata-kata positif supaya menyenang, mengembira dan mententeramkan hati pesakit. Disunatkan juga menasihati agar banyak bersabar dan tabah menghadapi ujian dan dugaan yang dialami. Ini kerana dengan sakit Allah S.W.T dapat menghapuskan dosa serta memberi ganjaran pahala yang besar kepada pesakit. 
  6. Orang yang menziarah juga disunatkan mendoakan orang yang sakit supaya cepat sembuh. Selain itu pesakit juga digalakkan untuk mendoakan diri sendiri untuk cepat sembuh.

  7. Orang yang menziarah juga digalakkan untuk meminta orang yang sakit untuk mendoakan kesejahteraan dan kebaikan kita kerana doa mereka mustajab.
  8. Berpesan kepada keluarga pesakit supaya sentiasa berbuat baik dan sabar dengan       karenah pesakit.
  9. Menjaga aurat dan batas pergaulan semasa menziarahi pesakit yang bukan mahram supaya tidak mendatangkan fitnah.
  10. Jangan bercerita tentang keburukan atau aib pesakit kepada orang lain
  11. Bagi pesakit yang nazak atau tiada harapan untuk sembuh digalakkan orang yang menziarahi untuk membaca talqin atau mengajar pesakit untuk mengucap dua kalimah syahadah.
Dengan perkongsian ini diharap sama-sama kita saling mendoakan agar mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Perkara yang dikongsi ini kebiasaan kita terutamanya umat islam akan melakukannya semasa menziarahi pesakit. Semoga ilmu ini dapat dimanfaatkan bersama.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan