Sabtu, 9 Ogos 2014

Kerja Sebagai Satu Ibadah

Teks: norazita bt adnan
Foto : carian geogle


Esok bermulalah rutin harian seperti dua bulan yang lepas sebagai  Penolong Pegawai Kesatria atau mudah dikenali dengan nama jurulatih PLKN (Program Latihan Khidmat Negara). Motivasikan diri, jadikan kerja sebagai satu ibadah untuk lebih bergembira dengan apa yang dilakukan. Sebelum pergi kerja mari kita berdoa semoga mendapat keberkatan daripada tuhan yang maha esa. 


Semasa bekerja perlu amalkan etika dan budaya kerja yang disarankan mestilah budaya kerja yang tekun dan bekerja keras, rajin dan bersungguh-sungguh, beramanah dan bersih. Dalam hal ini para pekerja amat digalakkan supaya mengikut etika yang disarankan. Melalui etika dan budaya kerja yang baik setiap pekerja akan mendapat berkat dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.
Antara etika dan budaya yang baik adalah mengikut acuan yang terpancar daripada nilai kebudayaan Islam iaitu yang meliputi akidah, syiar, pemahaman, emosi, akhlak dan tatasusila Islam. Bekerja sebagai ibadah mestilah disematkan dalam hati setiap pekerja di negara ini.
Bekerja atau mencari rezeki untuk diri dan keluarga adalah suatu amanah. Oleh itu, bekerja juga turut menjadi amanah yang wajib ditunaikan. Ini bererti bekerja adalah suatu amanah yang wajib ditunaikan bagi mendapatkan hasil daripada pekerjaan yang dilakukan sendiri.
Sebagai hamba Allah, amat penting untuk kita menyedari dan memastikan segala pekerjaan yang kita lakukan tidak lain dan tidak bukan, hanya semata-mata kerana Allah. Tidak terlintas di dalam hati untuk mengharapkan pujian, pangkat dan harta tetapi apabila dikurniakan Allah lantaran ikhlas dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan, anggaplah ia merupakan kurniaan Allah yang menghargai hambaNya yang ikhlas sepanjang perjalanan hidupnya dalam menjunjung apa yang diperintahNya dan meninggalkan apa yang dilarangNya.
Perlu menyusun semula jadual, keluar kerja pukul 6.00pagi dan tiba di rumah semula sebelum pukul 8.00malam. Supaya dapat melakukan apa sahaja yang telah ditetapkan. Perlu juga fikirkan apabila diberi tanggungjawab sebagai ketua untuk menyelaras jadual, jurulatih dan pelatih yang akan tiba pada 16 Ogos 2014 yang akan datang. Buat satu persatu supaya tidak ada apa yang tercicir dan memberi satu kepuasan dalam kerja yang dibuat. Perkara yang penting hubungan yang baik dengan rakan sekerja supaya memudahkan sesuatu perkara untuk mendapatkan bantuan sekiranya kita memerlukan mereka kelak.
Kadangkala kita tidak berfikir, "Kenapa rezeki susah hendak masuk?". Antara faktor penyebab kenapa rezeki susah hendak masuk:
  • Semasa bekerja gemar mengungkit-ungkit apa yang telah dilakukan.
  • Asyik mencanang perihal duit tidak cukup untuk pelbagai urusan.
  • Berkira untuk bersedekah walaupun seringgit.
  • Berkira untuk membantu memudahkan hal yang baik.
  • Riak bila bersedekah.
  • Banyak membuat maksiat/kemungkaran.
  • Tidak/kurang beristighfar
  • Tidak bersyukur/banyak mengeluh

Mari sama-sama kita muhasabah diri dan menjadikan diri ke arah yang lebih baik. Semoga tempat kerja kita lebih harmoni bersama rakan sekerja yang telah lama berkhidmat bersama.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan