Khamis, 27 November 2014

Salasilah Nabi Muhammad S.A.W

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle



Ilmu yang ada perlu dikongsi, ini hanyalah untuk memperingati sesama islam. Baru-baru ini melihat program tanyalah ustaz, ustaz cakap untuk menjadi umat Nabi Muhammad S.A.W yang baik perlu mengetahui salasilah keluarga Rasulullah sekurang-kurangnya sehingga moyang Rasulullah. Kebetulan masa saya pergi membuat program sukarela di Masjid Paya Jakas saya ada terbaca artikel ini di masjid. Saya harap apa yang saya baca ini dapat dikongsi bersama rakan-rakan yang lain untuk saling memperingati.

Biodata Nabi Muhammad S.A.W

Nama:
Muhammad bin Abdullah.
Bapa:
Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilaf bin Murrah.
Ibu:
Aminah binti Wahab bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah.
Nenek Sebelah Bapa:
Fatimah binti Umar al-Makhzumiyah.
Nenek Sebelah Ibu:
Burra binti Abd Uzza bin Usman bin Abdul Dar bin Qusay bin Murrah.
Tarikh Lahir:
Isnin, sebelum terbit matahari, 12 Rabiulawal tahun ke-53 sebelum Hijrah/570 Masihi.
Tempat Lahir:
Makkah al-Mukaramah berhampiran Bukit Sofa (rumah Abu Talib) (tempat tersebut telah dibangunkan sebagai perpustakaan Makkah dan masih wujud sehingga sekarang.
Tarikh Diangkat Menjadi Nabi:
27 Ramadhan tahun ke-13 sebelum hijrah/609 Masihi, Gua Hira’, Makkah al-Mukaramah
Wafat:
Isnin, sebelum tengah hari, 12 Rabiulawal tahun ke-11 Hijrah/632 Masihi di Madinah
Pekerjaan:
1.     Pengembala kambing.
2.     Berniaga (sehingga umur 40 tahun)
3.     Bertugas secara rasmi sebagai Nabi/Rasul (Menyampaikan risalah Allah)
Tanda istimewa:
Cop kenabian di antara dua bahu yang sentiasa dinaungi oleh bayangan awan ke mana sahaja baginda pergi.
Sifat sifat:
Wajah:
Mata:
Rambut:
Ketinggian:

Putih bersih berseri/bercahaya.
Hitam.
Hitam.
Sederhana dan dada bidang.
Nama Bidan:
Shifa’ binti Auf (Ummu Abd Rahman).
Nama Penjaga:
Ummu Aiman.
Nama Penyusu:
1.     Tsuwaibah binti al-Aslamiyah
2.     Halimah Dzuaib As-Sa’diyah
Warna Kegemaran:
Hijau dan putih
Keistimewaan:
Rahmat sekalian alam.
Saudara Susuan
Daripada Tsuwaibah:

1.     Abdullah bin Jahay
2.     Hamzah bin Abdul Mutalib
3.     Abu Salamah bin Abdul Asad
4.     Masruh bin Tsuwaibah
Daripada Halimah:
1.     Abdullah bin al-Harith
2.     Anisah binti al-Harith
3.     Huzaifah bin al-Harith


Dahulu masa belajar secara terperinci tidak disentuh pasal Nabi Muhammad S.A.W. Kalau kita tidak membaca sendiri maka kita tidak akan tahu sejarah Nabi Muhammad. Sambungan Berkaitan perkahwinan beliau dengan wanita-wanita terpilih. Istimewanya mereka terpilih untuk menjadi isteri Rasulullah. Baca seterusnya selepas ini...

Hutang Wajib Dibayar.

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle


Salam ukhwah untuk semua,

Orang kata hidup kalau tidak berhutang tidak mampu untuk memiliki harta. Orang hidup sederhana macam saya ini mengakui apa yang diperkatakan itu adalah benar. Hendak beli kereta, hutang. Hendak beli rumah pun hutang, apa lagi kalau hendak beli tanah, lagi berhutang. Tapi kalau hutang dengan bank boleh pula dibayar. Sampai bila hendak berhutang?

Setiap kali gaji emak selalu berpesan, "jangan lupa bayar PTPTN sementara anak hang masih kecil". Setiap kali itu juga saya buat tidak tahu sahaja. Sudah lama sangat tidak membayar hutang PTPTN. Dulu masa gaji sedikit boleh bayar tetapi bila gaji sudah naik kenapa tidak sempat untuk membayar. Bila fikir untuk masa depan anak-anak saya pun mengambil keputusan untuk pemotongan gaji terus supaya tidak terasa pengaliran wang keluar.

Tahun lepas saya ada ke pejabat PTPTN untuk membayar dan mendapatkan perkhidmatan Ujrah. Malangnya nama saya telah disenaraihitamkan oleh pihak PTPTN. Saya berasa pelik kenapa nama saya telah disenaraihitamkan, sedangkan saya ada membauat pembayaran. Kerani di kaunter memohon maaf diatas kesilapan yang telah mereka lakukan. Namun begitu saya terpaksa membuat surat kepada pihak pentadbiran PTPTN untuk mengeluarkan nama saya daripada senaraihitam tersebut.Alhamdulillah akhirnya berjaya.

Setelah berjaya baru saya boleh buat pemotongan gaji, sepatutnya gaji saya telah dipotong pada bulan 10 tetapi pihak PTPTN masih belum membuat pemotongan. Tergerak hati untuk telefon semula ke Pejabat PTPTN Kuantan. Rupanya surat yang dihantar oleh mereka tidak sampai kepada saya dan pihak majikan saya. Bulan bila pula akan di potong bila sudah jadi begini? Jadi saya kena ambil inisiatif sendiri untuk membayar PTPTN agar tidak tertunggak.
Semoga dengan kesedaran saya ini dapat memurahkan rezeki saya anak beranak. Saya perlu konsisten membayar hutang PTPTN seperti saya membayar hutang kereta. Baru senang hidup dan rasa tenang. Mari kawan-kawan kita membayar hutang dan amalkan doa ini semoga hutang kita dapat dilangsaikan.

 

Rabu, 26 November 2014

Tahniah! UPSR 2014

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle


Salam ukhwah untuk semua,

Setelah pelbagai dugaan yang dialami oleh murid tahun 6 2014, akhirnya berjaya juga mendapat keputusan yang memberangsangkan. Walaupun peratusan keputusan menurun daripada tahun lepas, namun yang mendapat A dalam keputusan masih ramai. Tidak sia-sia pengorbanan kalian terpaksa mengambil peperiksaan dua kali hanya untuk UPSR. Alhamdulillah, tahniah untuk yang berjaya berkat usaha kalian lakukan. Dorongan guru-guru dan keluarga amat penting untuk seorang murid berjaya. Disamping fokus murid itu sendiri terhadap pembelajarannya. Bagi yang kurang bernasib baik, boleh usaha lagi kejayaan tidak ternoktah di sini. Berusaha lagi sehingga berjaya dan jangan berputus asa. Perjalanan anda baru bermula, panjang lagi masa untuk buktikan yang anda juga boleh melakukan. Gagal sekali tidak bermakna anda gagal untuk selama-lamanya. Berusaha dan terus berusaha untuk menjadi yang terbaik.

Tips kecemerlangan diri.

1. Mengetahui matlamat dengan jelas.
2. Percaya pada diri bahawa mampu berjaya seperti orang lain.
3. Fokus 100% di dalam kelas semasa proses pembelajaran.
4. Persediaan sebelum, semasa dan selepas kelas.
5. Berfikir secara positif.
6. Berkawan juga dengan orang yang berfikiran positif.
7. Mempunyai kumpulan belajar yang baik
8. Pengurusan masa yang berkesan.
9. Sentiasa konsisten.
10. Yang paling penting ingat tuhan dan jangan lupa untuk solat.



Insyaallah dengan tips ini serba sedikit akan membantu anda untuk cemerlang. Negara maju disebabkan mempunyai rakyat yang hebat dan gemilang.

Selasa, 25 November 2014

Bersukaria Bersama Anak-Anak.

Teks: norazitaadnan
Foto: peribadi

Salam ukhwah untuk semua,

Alhamdulillah hari ini di beri peluang untuk membawa anak-anak bermain Soopa Doopa di Muadzam Shah. Biasa mereka hanya melihat gambar sahaja yang bapa dan mak saudara mereka masukkan dan whatsapp. Hari ini akhirnya mereka dapat juga bermain. Hendak ke sana memang boleh tapi terpaksa menunggu ibu ada duit baru boleh ke sana.

Apa yang menggembirakan hati ibu adalah melihat anak-anaknya gembira. Tidak mengapa terpaksa korbankan sedikit duit untuk kegembiraan anak-anak. Saya membiarkan mereka bermain bersama kawan-kawan sehingga mereka puas baru kami balik ke rumah. Sekali sekala membawa anak bermain di luar tidak salah setelah mereka puas mengulangkaji pelajaran. Kadang-kadang mereka perlu juga untuk menghirup angin diluar.

Saya juga mengambil kesempatan bila sudah berada di Muadzam untuk melangsaikan hutang bulanan saya yang sepatutnya. Kebiasaannya setiap bulan memang perkara yang sama yang akan saya lakukan. Duit lebih bayar hutang, baru saya gunakan untuk belanja bulanan untuk anak-anak. Perancangan perbelanjaan juga penting supaya pendapatan yang dapat itu boleh digunakan sehingga ke akhir bulan. Setelah selesai barulah saya membawa mereka untuk bermain.

Setelah puas bermain saya juga telah berjanji dengan si abang untuk makan KFC setelah dia Berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan pakaian beragam di sekolahnya. Sebenar saya mahukan abang memberanikan diri untuk berada di hadapan khalayak ramai. Abang seorang yang pemalu, tidak menyangka yang abang boleh berada di hadapan dengan memperagakan pakaian askarnya. Ibu sentiasa doakan apa yang dicita-citakan menjadi satu kenyataan untuk anak-anak ibu.

****************
Yang minat nak sertai ABDR, boleh pilih mana-mana kelas berikut.
Bergabung bersama kami 860 blog.
1. Kelas Asas blog dan penulisan} - online & offline
2. Kelas asas blog, fan page, mula bisnes} - online & offline
-produk sendiri
-makanan sunnah
-telekung solat borong dan runcit http://gedungtelekungsolat.blogspot.com/
-produk islamik
-projek raya http://dropshipbisnesmakanan.blogspot.com/
3. Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif
4. Kelas belajar iklan mudah.my
5. Kelas asas urus akaun wahm/soho
Grup Coaching :
27 Nov 2014, Khamis di Bandar Tun Hussein Onn.
27 Nov 2014, Putrajaya
Kelas Online -
1/12/14, Isnin
6. Kelas penulisan ebook pertama - online dan offline
8. Pendaftaran pengurus online - online dan offline
9. Kelas asas wordpress
Servis yang kami ada:
1. Tempahan blog bisnes - 5-7 hari siap
2. Beriklan di SOHO Directory juga bersama pautan kami lebih 860 blog


Bila sudah sedia untuk sertai ABDR, 

Boleh hubungi saya, Norazita Adnan
Pengurus Online ABDR
Facebook: https://www.facebook.com/norazitaadnan
emel: norazitaadnan@gmail.com
SMS/whatsapp/telegram/wechat: 0199899957




Isnin, 24 November 2014

Tips Mengajar Anak-Anak Membantu Kerja Rumah

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle

Salam ukhwah untuk semua,


Bertemu lagi kita di saat ini untuk berkongsi cara menggalakkan anak-anak membantu untuk membuat kerja rumah. Secara tidak langsung kita telah memupukkan budaya tolong-menolong sejak dari mereka kecil lagi. Budaya memerlukan masa yang lama untuk diterapkan dalam diri seseorang. Dengan cara ini anak-anak akan merasakan mereka juga amat penting dalam sesebuah keluarga. Mereka merupakan sebahagian ahli keluarga yang memerlukan mereka untuk bertanggungjawab membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni.

Di sekolah pun mereka diterapkan untuk membersihkan kelas mereka. Tidak salah sekiranya kerja-kerja ini diteruskan di rumah untuk meringankan beban kita dan secara tidak langsung mereka dapat belajar berkaitan kemahiran hidup. Kemahiran ini dapat diguna apabila mereka mula hidup untuk berdikari seperti tinggal di asrama. Sebagai ibu bapa perlu menerapkan nilai kebersihan dalam diri.

Masa cuti sekolah begini sahaja dapat kita mendidik anak-anak untuk belajar untuk mengemas rumah, menyapu sampah, mencuci pinggan dan menyusun baju-baju mereka sediri. Apabila anak-anak rajin, bebanan seorang ibu dan bapa juga dapat dikurangkan.

Tips anak-anak membantu kerja rumah

1.    Sentiasa menyuruh anak-anak melakukan kerja bersama
Apabila menyapu sampah buat bersama-sama anak. Dia akan rasa gembira apabila melihat hasil yang dibuat sendiri. Bahagikan kerja yang kh.usus untuk semua anak supaya setiap orang mempunyai peranan tersendiri di dalam rumah.

2.    Setelah selesai ibu bapa perlu memberi penghargaan.
Manusia memang suka dipuji dengan apa yang dilakukan. Begitu juga anak-anak kita, hanya dengan ucapan terima kasih pun sudah mencukupi untuk memberi penghargaan. Kadang-kadang kita terlupa untu memberi penghargaan kerana ia amat bermakna kepada seseorang yang menerima penghargaan tersebut.

3.    Mengambil masa untuk melatih.
Kemahiran hidup perlu diterapkan kepada anak-anak seawal usia 2 tahun. Dengan ini anak-anak akan ringan tulang untuk melakukan sebarang pekerjaan yang memerlukan tenaga mereka. Kebiasaan ada juga anak yang sukar untuk membantu, jadi ibu bapa perlu menggunakan kebijaksanaan untuk mereka mengikut apa sahaja permintaan kita.
           
4.    Meminta bantuan anak bukan memberi arahan.
Kebiasaan sebagai ibu kita suka membebel sekiranya apa yang kita harapkan anak-anak kita tidak membantu.  Elakkan untuk membebel kerana anak-anak akan buat tidak peduli dengan apa yang kita perkatakan. Sekiranya kita berada ditempat mereka pun kita akan menyampah.

5.    Melakukan kerja dengan menyanyi dan berlagu.
Anak-anak sekarang sudah terbiasa dengan nyanyian yang telah dipupuk semasa sekolah. Dalam pembelajaran pun diterapkan dengan lagu atau nyanyian untuk memudahkan anak-anak berminat dengan pembelajaran yang disampaikan. Begitu juga dengan kerja rumah, ibu-ibu cipta lagi untuk menarik minat anak-anak membuat kerja sambil menyanyi.


Seawal usia kakak 1 tahun lebih telah diajar untuk memasukkan pakaian kotor ke dalam bakul atau terus letakkan dalam bilik air. Apabila sekolah kakak mudah untuk mengikuti perkara lain seperti sidai pakaian sekolahnnya, membantu basuh kasut sendir dan menyapu sampah di ruang tamu. Kakak juga suka untuk membantu saya untuk mencuci pinggannya sendiri. 

Resepi Kegemaran Keluarga Adnan (Laksam)

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle


Kebiasaan bila kami anak beranak tidak berselera untuk makan, resepi yang selalu emak buat adalah laksam. Ayah suka sangat dengan laksam, jadi anak-anak dia pun terikut makanan kegemarannya. Walaupun duduk rumah sendiri tetap mencari laksam untuk pembuka selera. Jadi di sini saya akan kongsikan resepi kegemaran kami secara terperinci:


LAKSAM(12 gulung)
3 cawan tepung beras
1/2 cawan tpg gandum
sedikit garam
4 3/4 cawan air suam

Caranya:
  1. Campur semua bahan-bahan diatas sehingga sebati. Kebiasaan masukkan minyak sedikit tetapi keluarga kami tidak suka sebab berbau minyak
  2. Panaskan air dan periuk kukus.
  3. Sediakan loyang atau penutup periuk aluminium.
  4. Masukkan bancuhan tpg tadi dlm loyang atau tudung periuk, tidak terlalu tebal atau nipis. Kalau saya biasanya dapat menutupi keseluruhan tudung periuk sudah mencukupi.
  5. Kukus dlm 5 minit..
  6. Masukkan penutup periuk yang lain yang tadi biarkan suam-suam.
  7. Terus gulung dari penutup periuk tersebut hingga habis
  8. Kukus lagi adunan laksam tadi sehingga habis.
  9. Sudah di gulung dipotong untuk di makan bersama kuah dan ulaman.

Kuah laksam

5 ekor Ikan selayang (direbus)
3 ulas bawang merah (ditumbuk)
sedikit lada hitam(ditumbuk)
1 biji kelapa 
sedikit lengkuas
garam secukup rasa
ajinomoto secukup rasa

Bahan yang ditumbuk dimasukkan ke dalam periuk. Keringkan sedikit dan masukkan santan yang telah diperah tadi, Seterusnya ikan yang direbus dikisar hingga halus dan di masukkan sekali. Biarkan mendidih masukkan lengkuas, garam dan ajinomoto secukup rasa.

Cili untuk penyedap rasa
15 biji lada kering  ditumbuk dengan sedikit belacan dan sedikit garam.

Ulam-ulaman
Sedikit taugeh
Sedikit kobis
Sedikit timun
sedikit kacang panjang
semuanya dihiris halus 


Ahad, 23 November 2014

Kukuhkan Perhubungan Waktu Cuti Sekolah

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle

Alhamdulillah tuhan masih memberi peluang untuk bernafas hari ini. Sudah bermulanya waktu untuk cuti sekolah. Sebelum ini biasanya pagi-pagi anak-anak dihantar ke sekolah untuk diberi didikan oleh cikgunya di sekolah. Bila cuti sekolah tugas tersebut bertukar tangan kepada ibu bapa sepenuhnya. Walaupun anak-anak masih kecil, namun pada usia ini perlu dididik supaya senang mereka ikuti apabila mereka meningkat remaja.

Jadual untuk kakak telah dibuat supaya dia tidak meninggalkan terus pembelajarannya di sekolah. Cuti sekolah 2 bulan merupakan masa yang panjang sekiranya kakak tidak mengisikan masanya dengan pembelajaran yang telah diterapkan oleh cikgunya. Jadual dibuat diawal pagi supaya kakak tidak terlalu lewat bangun pagi. Alhamdulillah setakat ini kakak dapat mengikut jadual yang telah dibuat. Dengan adanya jadual ini kakak tidak terus meninggalkan pembelajaran yang telah diajar oleh cikgunya. Ini kerana cuti sekolah 2 bulan merupakan jangka masa yang panjang, rugi sekiranya kakak tidak memanfaatkan masa dengan sebaiknya.

Walaupun cuti sekolah, saya akan memastikan anak-anak saya bangun pagi untuk solat subuh bersama. Kebiasaan mereka bangun pagi untuk ke sekolah, jadi tiada masalah untuk mereka bangun awal di hari cuti. Biasalah kanak-kanak pastinya sukar untuk bangun awal, lagi-lagi bila tahu dia cuti. Bagi kakak untuk bangun pagi memang mudah berbanding dengan abang. Namun saya membiasakan mereka agar bila mereka meningkat remaja perkara ini menjadi kebiasaan untuk mereka.

Setiap pagi saya akan menyuruh anak-anak saya membaca iqra' di rumah sebelum mereka ke rumah tok guru untuk mengaji. Dengan cara ini mereka boleh melancarkan pembacaan dan lebih cepat mengenali. Saya juga menggalakkan mereka untuk mengulangkaji pelajaran di awal pagi sebelum mereka berehat. Mengikut jadual sebenarnya tidak sesukar mana sekiranya ada komitmen diri dan pemantauan ibu bapa.


Setiap kali selepas maghrib saya akan menyiapkan anak-anak untuk menghantar ke kelas mengaji. Mereka bersemangat dan saya akan turut memberi sokongan sementara mereka masih berminat. Cara ini sahaja mereka dapat meningkatkan kemahiran membaca iqra'. Kebiasaan bila mereka membaca dengan saya tidak konsisten, jadi saya mengambil keputusan untuk memberi tok guru saya dahulu untuk mengajar mereka.

Pada cuti sekolah ini juga saya mengambil peluang untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Saya telah membawa anak-anak untuk melawat sepupu mereka di Muadzam. Mereka akan lebih rapat sekiranya mereka selalu bertemu dan bermain bersama-sama. Secara tidak langsung akan timbul perasaan kasih sayang terhadap saudara mereka. Saya melakukan perkara yang sama seperti ibu dan bapa saya membawa kami adik-beradik untuk bertemu sanak saudara pada musim cuti sekolah.

Sebagai ibu yang berkerjaya saya juga mengambil peluang untuk cuti bersama. Dengan ini saya dapat mengajar aspek pengurusan diri dan asas pengurusan rumah tangga seperti membasuh kasut, mengemas rumah, menyapu sampah, mencuci pinggan dan mengasuh adik. Dengan cara ini mereka belajar sesuatu yang beru disamping membantu ibu dan bapa di rumah. Ini kerana budaya rajin membantu dapat dibentuk di awal usia. Mereka akan memahami tanggungjawab mereka sebagai anak juga diperlukan untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni.