Ahad, 31 Ogos 2014

Anak Soleh/Solehah, Anak Yang Cemerlang

Teks: norazitaadnan
Foto: carian geogle

Anak-anak adalah anugerah terindah yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada setiap ibu bapa. Setiap pasangan yang berkahwin pasti akan berusaha demi mendapatkan cahaya mata dalam kehidupan mereka. Anak adalah amanah yang diberikan oleh Allah S.W.T untuk dijaga dan dididik dengan sebaiknya. Semua ibu bapa mahukan anak mereka hidup cemerlang di dunia dan di akhirat. Kita hanya berusaha, Allah yang menentukan segalanya.

Saya amat tertarik dengan tips mudah yang yang dikongsi oleh blogger mommyIskandar yang patut diamalkan oleh setiap ibubapa untuk anak-anaknya terutama yang beragama Islam. Semoga kita dapat membentuk pewaris bangsa dengan baik bagi menyambung warisan kita nanti. 

Antara Tips yang mudah untuk diamalkan dan dikongsi bagi mendapat anak yang soleh/solehah seperti berikut:

1. Sentiasa sedekahkan Surah Al-Fatihah kepada anak-anak.
  • Baca sehingga ayat "Iyakanak budu waiya kanastain" bermaksud "hanya kepadaMu kami sembah dan hanya padaMu pohon pertolongan" 
  • Selepas ayat ini mintalah hajat yang berkaitan dengan anak yang kita ingat pada masa itu. 
  • Habiskan Surah Al-Fatihah.
  • Doakan semoga anak kita diberi kefahaman yang sebenar dalam urusan agama dan memiliki ilmu yang bermanfaat.
  • Serahkan urusan anak kepada Allah untuk menjaga.
2. Semasa anak tidur pandang wajahnya dan bercakap dengan kata-kata positif. (ustaz kata seolah kita bercakap dengan rohnya)

3. Solat hajat berhampiran tempat tidur anak dan sentiasa mendoakan untuk menjadi anak yang soleh/solehah.

4. Minta dengan anak untuk sentiasa dikasihi. Anak yang soleh/solehah akan sentiasa doakan ibu bapa walaupun ibu bapa sudah meninggal dunia. Ceritakan dengan anak bahawa setiap kejadian tuhan pasti ada yang hidup dan mati. Ingatkan anak-anak untuk sentiasa mendoakan ibu bapa yang berada di alam barzakh untuk selamatkan daripada seksaan.

5. Sentiasa peluk anak walaupun sudah besar. Mereka akan merasakan bahawa kita  sentiasa menyayangi mereka.

6. Sentiasa maafkan anak, walaupun perbuatan mereka melukakan hati kita. Muhasabah diri bahawa semua itu adalah balasan tuhan ke atas kesilapan kita di masa lalu.

7. Jaga tutur kata. Sentiasa mohon maaf sekiranya kita TER....
Mengikut pepatah melayu, "Marah bukan bererti kita benci, marah itu tandanya sayang" untuk menjadikan mereka anak yang hebat.

8. Amalkan membawa Surah Ibrahim ayat 40.


9. Sentiasa ingatkan Allah S.W.T maha berkuasa. Sekiranya kita mempunyai pangkat, belajar tinggi, muka cantik tetapi peribadi buruk tiada gunanya. Bentuk peribadi yang mulia dalam kehidupan.

10. Amalan membasuh beras untuk kaum ibu.
  • Masa basuh niat " Ya Allah lembutkan hati anak-anakku seperti mana lembutnya beras ini menjadi nasi".
  • Basuh beras lawan jam sambil selawat.
Semua tips di atas mudah untuk dilakukan oleh setiap ibu bapa. Marilah sama-sama kita amalkan dan istikomah, semoga mendapat hasil yang memberangsangkan untuk bangsa dan negara. Amin.

Ahad, 17 Ogos 2014

Pemimpin Yang Disayangi Atau pemimpin Yang Disegani?

Setiap manusia mempunyai sifat kepimpinan masing-masing. Samaada sifat kepimpinan itu teserlah ataupun sebaliknya. Kepimpinan boleh dilihat pada diri kita dalam situasi berbeza samada kepimpinan dalam kekeluargaan, perniagaan atau sosial. kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa kita mempunyai sifat kepimpinan dalam diri.

Seorang wanita juga tidak terlepas untuk menjadi seorang pemimpin. Kebiasaan pemimpin wanita juga akan mendapatkan nasihat atau pandangan daripada orang lelaki untuk mendapatkan keputusan yang baik. Ini kerana kebiasaan wanita lebih menggunakan emosi dalam membuat keputusan.

Kita juga sering kali mengharapkan agar dapat bekerja dengan pemimpin yang dihormati dan disukai oleh pekerja-pekerja. Namun begitu kebiasaannya kita tidak akan dapat seperti yang kita harapkan. Hanya mampu berdoa semoga pemimpin tersebut menjalankan tanggungjawabnya dengan adil dan saksama. Apa pun berbalik kita kepada tuhan yang satu bermohon agar di beri pemimpin yang baik dan soleh dalam organisasi kita.


Jadi di sini saya memberi beberapa tips agar kita dapat sama-sama praktikkan dalam kehidupan.
Tips menjadi pemimpin yang disegani:
1.  Keseimbangan dalam perjalanan operasi dan pengurusan sumber manusia. Pemimpin yang akan memikirkan kecemerlangan operasi sistemnya serta mengambil berat hal-ehwal dan kebajikan orang yang dipimpinnya.

2. Kejujuran dalam berkata-kata amat penting bila menjadi seorang pemimpin. Kebiasaan kita sukar untuk bercakap benar terutama tentang suatu perkara yang kurang sedap telinga mendengar. Lebih banyak hendak menjaga hati daripada bercakap benar tentang sesuatu perkara tentang hakikat sebenar. Jangan memilih perkataan yang hanya sedap telinga mendengar sehingga tiada perubahan kepada orang yang dipimpin.
3. Pemimpin yang sebenar adalah pemimpin yang boleh memberi cabaran kepada orang yang dipimpinnya agar melakukan perkara yang lebih besar. Bagi dirinya sendiri dapat melakukan perkara yang lebih baik daripada perkara yang sedia ada atau menurun prestasi sebagai seorang pemimpin.

4. Bersedia dan bersemangat untuk bekerja dalam satu kumpulan. Ini kerana prestasi semakin tinggi sekiranya kita bekerja dalam satu kumpulan berbanding bekerja berseorangan. Walaupun menjadi pemimpin kita perlu berbaik dengan orang yang dipimpin untuk memudahkan kerja yang akan dilakukan oleh pemimpin ataupun yang dipimpin. Jangan menjadi seorang opemimpin ditaktor, kerana kerja bersama kumpulan perlu ada pandangan atau cadangan yang bukan hanya datang daripada pemimpin sahaja.

5 Meminta bantuan orang yang dipimpin untuk sama-sama bekerjasama dan memberi sokongan dalam meningkatkan prestasi kerja sesebuah organisasi. Bukan hanya mengejar anugerah untuk individu sahaja dengan menindas orang lain. Agar suasana kerja harmoni dapat dijaga dan semua orang seronok untuk bekerja.

6. Sekiranya pemimpin dapat tahu tentang sesuatu masalah di dalam organisasinya, sebagai pemimpin perlu bertindak untuk menyelesaikan masalah tersebut agar tidak menjadi besar. Jadikan diri untuk orang lain selesa untuk menjadikan kita sebagai pendengar setia dan mereka akan mempercayai kita sebagai pemimpin.






Ahad, 10 Ogos 2014

Pendidikan Awalku

Teks: norazita bt adnan
Foto: carian geogle

Setiap insan pasti akan diberi pendidikan awal oleh ibu bapa masing-masing. Begitu juga dengan diriku yang mendapat pendidikan bermula tahun 1985. Di Tadika KEMAS tetapi pada masa mula persekolahan hanya menumpang di kawasan perumahan. Walaupun begitu masih tetap bersekolah di tempat yang serba kekurangan kemudahan asasnya.


Pada tahun 1986 bertukar ke bangunan yang telah disediakan oleh kerajaan iaitu Sekolah Kebangsaan (LKTP) Keratong 6 & 7 dan sekarang bangunannya telah diasingkan antara keratong 6 dan 7. Pada masa ini guru tidak ramai berbanding murid sehingga 6 kelas dan sekelas dalam 40 orang murid yang dikawalselia oleh seorang guru. Mendapat pendidikan di sini sehingga ke tahun 6.
Perkara yang tidak disangka oleh aku ialah menjadi cikgu di sini setelah 20 tahun berlalu. Dahulunya dia bergelar cikgu aku sekarang menjadi rakan sekerja. Di sini baru mengetahui lumrah kehidupan sebenar. Dahulunya menganggap guru adalah insan terbaik yang boleh dicontohi. 
Antara Ciri-ciri guru yang hebat yang boleh dicontohi:
1. Mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori.
2. Bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja.
3. Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran.
4. Prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa.
5. Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid-murid.
6. Mempastikan situasi "Guru mengajar murid belajar" wujud di dalam kelas.
7. Profesional dan menumpukan perhatian kepada P&P di sekolah.
8. Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik 
    unggul pada setiap masa.
9. Berupaya membina minda pelajar yang cemerlang akademik.
Kini tahun 2014, anakku yang sulung pula bersekolah di sekolah yang sama dengan 
ku dahulu. Hari jumaat 8 Ogos 2014 telah mengingatkan aku semula di zaman persekolahan dahulu. Alangkah seronoknya bila boleh diputarkan semula masa lalu. Semua itu hanyalah khayalan semata-mata. Usia semakin hari, semakin meningkat. Masa itu amat berharga.



Harapanku semoga anakku Dania Arisya menjadi seorang insan yang berguna di dunia dan di akhirat di atas tunjuk ajar guruku gurumu jua. Terima kasih cikgu mendidikku sehingga berjaya. Semoga anakku lebih mendapat kejayaan daripada apa yang aku perolehi.



Sabtu, 9 Ogos 2014

Kerja Sebagai Satu Ibadah

Teks: norazita bt adnan
Foto : carian geogle


Esok bermulalah rutin harian seperti dua bulan yang lepas sebagai  Penolong Pegawai Kesatria atau mudah dikenali dengan nama jurulatih PLKN (Program Latihan Khidmat Negara). Motivasikan diri, jadikan kerja sebagai satu ibadah untuk lebih bergembira dengan apa yang dilakukan. Sebelum pergi kerja mari kita berdoa semoga mendapat keberkatan daripada tuhan yang maha esa. 


Semasa bekerja perlu amalkan etika dan budaya kerja yang disarankan mestilah budaya kerja yang tekun dan bekerja keras, rajin dan bersungguh-sungguh, beramanah dan bersih. Dalam hal ini para pekerja amat digalakkan supaya mengikut etika yang disarankan. Melalui etika dan budaya kerja yang baik setiap pekerja akan mendapat berkat dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.
Antara etika dan budaya yang baik adalah mengikut acuan yang terpancar daripada nilai kebudayaan Islam iaitu yang meliputi akidah, syiar, pemahaman, emosi, akhlak dan tatasusila Islam. Bekerja sebagai ibadah mestilah disematkan dalam hati setiap pekerja di negara ini.
Bekerja atau mencari rezeki untuk diri dan keluarga adalah suatu amanah. Oleh itu, bekerja juga turut menjadi amanah yang wajib ditunaikan. Ini bererti bekerja adalah suatu amanah yang wajib ditunaikan bagi mendapatkan hasil daripada pekerjaan yang dilakukan sendiri.
Sebagai hamba Allah, amat penting untuk kita menyedari dan memastikan segala pekerjaan yang kita lakukan tidak lain dan tidak bukan, hanya semata-mata kerana Allah. Tidak terlintas di dalam hati untuk mengharapkan pujian, pangkat dan harta tetapi apabila dikurniakan Allah lantaran ikhlas dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan, anggaplah ia merupakan kurniaan Allah yang menghargai hambaNya yang ikhlas sepanjang perjalanan hidupnya dalam menjunjung apa yang diperintahNya dan meninggalkan apa yang dilarangNya.
Perlu menyusun semula jadual, keluar kerja pukul 6.00pagi dan tiba di rumah semula sebelum pukul 8.00malam. Supaya dapat melakukan apa sahaja yang telah ditetapkan. Perlu juga fikirkan apabila diberi tanggungjawab sebagai ketua untuk menyelaras jadual, jurulatih dan pelatih yang akan tiba pada 16 Ogos 2014 yang akan datang. Buat satu persatu supaya tidak ada apa yang tercicir dan memberi satu kepuasan dalam kerja yang dibuat. Perkara yang penting hubungan yang baik dengan rakan sekerja supaya memudahkan sesuatu perkara untuk mendapatkan bantuan sekiranya kita memerlukan mereka kelak.
Kadangkala kita tidak berfikir, "Kenapa rezeki susah hendak masuk?". Antara faktor penyebab kenapa rezeki susah hendak masuk:
  • Semasa bekerja gemar mengungkit-ungkit apa yang telah dilakukan.
  • Asyik mencanang perihal duit tidak cukup untuk pelbagai urusan.
  • Berkira untuk bersedekah walaupun seringgit.
  • Berkira untuk membantu memudahkan hal yang baik.
  • Riak bila bersedekah.
  • Banyak membuat maksiat/kemungkaran.
  • Tidak/kurang beristighfar
  • Tidak bersyukur/banyak mengeluh

Mari sama-sama kita muhasabah diri dan menjadikan diri ke arah yang lebih baik. Semoga tempat kerja kita lebih harmoni bersama rakan sekerja yang telah lama berkhidmat bersama.



Sabtu, 2 Ogos 2014

Bermulanya Di Sini

Teks: norazita adnan
Foto: carian geogle
Salam perkenalan, salam persahabatan dan salam ukhwah untuk semua.
Alhamdulillah satu lagi matlamat yang telah saya senaraikan sudah berjaya dilaksanakan iaitu untuk membuat blog sendiri. Mungkin ini rezeki saya dan anak-anak. Sebenarnya sudah hampir  dua tahun saya mencari peluang sebegini. Bermula selepas saya bersalin anak yang ketiga, saya terfikir untuk membuat perubahan di dalam kehidupan saya sekeluarga.
Sebenarnya saya mula bisnes dengan perniagaan dropship tetapi tahun lepas perniagaan saya tidak berjaya. Ini mungkin disebabkan saya tidak tahu macam mana cara hendak mulakan perniagaan dan menarik minat pelanggan. Agak sukar berbanding berniaga secara realiti. Saya berharap ini merupakan titik permulaan saya untuk mendapatkan modal dan memulakan perniagaan yang diidamkan.
Sebelum itu izinkan saya perkenalkan diri dahulu. Nama diberi Norazita Bt Adnan. Merupakan seorang ibu kepada 3 orang cahaya mata. Saya di lahirkan di Kedah dan dibesarkan di Pahang. Mendapat pendidikan semuanya di Pahang dan terus melanjutkan pelajaran ke utara tanah air yang merupakan tempat kelahiran saya. Bermula dengan bidang sastera dan di peringkat pengajian tinggi tukar ke bidang yang lebih kepada sains iaitu bidang teknologi maklumat yang lebih berkaitan dengan rangkaian.
Saya merupakan seorang ibu yang bekerjaya. Kerja yang tidak tentu masa menyebabkan saya kurang dapat meluangkan masa bersama anak-anak. Saya telah berkhidmat dengan Kementerian Pertahanan hampir 11 tahun. Sebelum berkahwin kerjaya sebagai Penolong Pegawai Kesatria memang seronok. Dapat berhijrah ke tempat orang dan bermasyarakat dengan sekitar kawasan. Bila status bertukar terasa seperti hendak berhenti kerja. Keadaan ekonomi pada masa itu tidak mengizinkan untuk saya berhenti. Saya bekerja atas niat untuk membantu suami dan menambah ilmu kemanusiaan.
Saya juga seperti ibu-ibu yang bekerjaya berfikir untuk membesar anak-anak di depan mata. Namun apa kan daya kehidupan saya menuntut untuk bekerja dan menyara anak-anak sendiri. Kadang-kadang rasa sayu melihat anak-anak yang kurang kasih sayang hanya menumpang kasih sayang datuk dan nenek. Tambahan pula menghadapi masalah keluarga sedikit. Mungkin semua ini ada hikmah di sebalik semua kejadian yang telah ditentukan Allah S.W.T
Saya perlu kuat dan tabah menjalani kehidupan demi membesarkan anak-anak. Sampai bila saya hendak mengharapkan ibu dan bapa saya yang banyak membantu. Saya ingat kata pakcik pemandu van tempat saya kerja “kecil-kecil dah menyusahkan mak ayah bila dah kahwin masih menyusahkan mak ayah”. Siapa yang tidak mahu gembirakan hati emak dan ayah. Semua anak-anak mempunyai harapan yang sama walaupun sejahat mana pun pasti ada keinginan untuk gembirakan hati orang tua masing-masing.
Kerja saya sekarang lebih menjaga anak orang lain berbanding anak sendiri. Tanggungjawab saya sebagai jurulatih kena saya tunaikan untuk mendapat rezeki yang berkat untuk menyara anak-anak saya. Bila saya kerja saya akan kerja betul-betul, bila saya bercuti saya akan manfaatkan cuti saya sepenuhnya bersama anak-anak.
Berniaga sendiri saya tidak pernah lakukan, mungkin masih belum mencukupi modal dan kurang keyakinan. Saya mempunyai sedikit pengalaman dalam perniagaan ketika membantu kakak menguruskan perniagaannya. Antara perniagaan yang dimilikinya adalah kedai kain, beg dan kedai runcit. Saya membantu kakak hampir setahun juga dan alhamdulillah di situ saya banyak menimba ilmu perniagaan. Di sinilah bermulanya saya menghilangkan sifat malu dan mula peramah untuk melayan dan menarik pelanggan berbeza sebelumnya saya seorang yang pendiam dan pemalu.
Walaupun saya bekerja dengan makan gaji, saya juga masih berminat untuk menjahit baju dan jahitan manik. Sekiranya ada masa terluang saya akan membuat baju sendiri dan anak-anak dengan tunjuk ajar cikgu KEMAS. Alhamdulillah akhirnya saya dapat membuatnya sendiri dan terasa satu kepuasan bila dapat menjahit sendiri. 
Matlamat menghadiri kelas ini adalah untuk mencari ilmu berkaitan dengan blog dan fan page. Saya mahu capai matlamat yang telah disenaraikan dalam hidup saya. Di samping mencari  pendapatan sampingan untuk menyara  anak-anak sementara mereka masih kecil. Saya juga hendak mengisi masa terluang dan tidak mahu memikirkan masa silam. Saya mahu bangkit untuk terus majukan diri. Sentiasa sabar dengan cabaran dan dugaan yang diberikan.